Tuesday, November 25, 2008

Bermula dengan Anekdot

BERMULA DENGAN ANEKDOT
Oleh A RAHIM ABDULLAH

“KITA tidak pernah tahu apa yang kita inginkan, kerana kita cuma hidup sekali, kita tidak dapat membandingkannya dengan kehidupan kita sebelumnya, atau kehidupan kita yang akan datang”
(Milan Kundera, 1984: 8)
Mungkin persoalan budaya yang ingin penulis bincangkan ini dapat dilihat dalam kerangka perbandingan: x berbanding y, yang tidak bermaksud kita memilihnya per se. Dengan kata lain, persoalan pilihan dan halangan tetap menjadi isu perdebatan. Dalam wacana ini, apa yang penulis ingin perkatakan ialah isu profesionalisme sebagai alat memajukan industri seni di Malaysia. Hal ini sangat penting, kerana dalam apa bidang jua pun, pada masa kini dan akan datang, orang akan bercakap dan mengambil kira aspek keprofesionalan sangat penting, baik untuk ukuran dan nilai individu, mahupun institusi yang berkaitan dengan bidang dan kepentingan tertentu.
Tulisan ini juga barangkali adalah sebahagian reaksi penulis terhadap artikel yang bertajuk ‘Indah Khabar dari Rupa?’ oleh Serimah Mohd. Sallehuddin (tersiar dalam Berita Harian, 11 November 2008) melaporkan bahawa teater tersebut sekadar hiburan semata-mata. Apapun, suatu hal yang sangat sulit dilakukan oleh orang Melayu ialah perubahan mentaliti dan sikapnya untuk lebih maju. Barangkali inilah sebahagian maksud bebalisme yang pernah dicetuskan oleh Syed Husein al-Atas dalam tahun-tahun 1980-an dulu, dalam kajian malas dan mundurnya orang Melayu dalam segala lapangan.
Dalam hal kebudayaan, kesenian dan penghasilan produks seni juga rentak yang sama masih berlaku di kalangan penggiat seni, seniman, dan pengkritik yang masih berada di takuk lama. Mereka ini enggan menerima kenyataan, bahawa industri seni di negara ini akan memberi keuntungan kepada orang bukan Melayu disebabkan sikap, mentaliti dan bebalisme yang tepu di dalam diri orang Melayu sendiri. Bayangkanlah, apabila mereka lebih suka bercakap banyak daripada membuat kerja. Akibatnya, orang lain merebut peluang atas ketaksuban idea lapuk, dan akhirnya kita hanya melopong, menganga tak tentu fasal setelah melihat taukeh yang cerdik dan licik mengaut keuntungan berjuta ringgit, atas kebahlulan orang Melayu sendiri yang malas dan enggan berubah.
Menjana industri seni yang mantap, misalnya dalam bidang drama dan teater atau filem, bukan sekadar menghasilkan produks semudah teater muzikal Impak Maksima sahaja, yang mampu menawarkan pesan moral yang sejalan dengan perubahan paradigma bangsa dan perkembangan negara yang sedang dirancang (sudah tentu banyak rintangan/ujiannya) yang harus dapat dibaca karyawan seni kita. Bukan saja soal komersial yang jadi kejaran mereka, tetapi hambatan (halangan) lain terutamanya penghakisan nasionalisme dan patriotisme akibat globalisme yang menyerang bangsa Melayu hari ini.
Dalam kes ini, mungkin masyarakat umum mulai mempertanyakan fungsi dan tugas hakiki Istana Budaya (IB). Adakah sesuai IB menjadi tempat eksperimen para karyawan Melayu? Kalau begitu, siapa-siapa boleh guna IB sebagai platform untuk menguji tahap kredibiliti dan bakat yang belum tergilap? Dengan itu juga pihak berkenaan telah cuba mengubah pemikiran masyarakat umum ke dalam rimba kekeliruan dengan fungsi IB yang longgar, sementelahan si seniman muda pula amat ghairah hendak menjadikan IB batu loncatan menaikkan namanya, walaupun dia sedar siapa dirinya? Mungkin kerana reputasinya yang akrab dengan IB, maka si seniman ini merasa yakin yang dia sudah mapan dalam drama TV ataupun wayang Melayu, maka dia cuba menggunakan pentas IB untuk menarik khalayak melihat permainannya di pentas teater? Dan di IB, dia boleh mencipta rekod baru dalam dunia teater tanahair. Tetapi kita tahu, sekiranya semua si seniman muda kita bersikap macam itu, lambat laun IB akan jadi pentas tahi kucing!
Kita harus sama-sama menjaga martabat IB - sebuah gedung kesenian yang ada signifikasinya yang khas, memiliki daya keintelektualan yang tersendiri. Ia adalah ruang untuk bukan calang-calang orang yang baru setahun jagung berteater tiba-tiba disambar riak yang bukan-bukan untuk mengangkat dirinya sendiri! Oleh kerana itu, para pengkritik seni tanahair juga harus bangun dan tampil memberikan pendapat mereka yang saksama dan cerdik dalam mengupas kemelut permasalahan macam ini.
Ini adalah sebahagian tanda-tanda zaman, di mana keresahan urban atau kegelisahan manusia kota yang diserang perubahan daripada pelbagai sudut dan dimensi. Kota dalam sudut pandangan manusia pascamoden adalah sebuah teks. Hal yang sama telah terjadi di negara maju seperti Amerika Syarikat, England dan Australia yang mencapai tahap tertentu. Para penulis dan pengkaji sosial telah melihat dan menaksir perubahan gejala semacam ini sebagai perubahan yang didorong oleh agenda kelas menengah profesional dan perusahan besar.
Hal semacam gejala dan virus ‘impak maksima’ yang cuba dimitoskan oleh generasi muda metropolitan Melayu hari ini boleh dijangka mampu melahirkan polarisasi sosial yang semakin banyak dan tajam, yang bangkit dalam dalam keterpinggiran ‘kelas bawah’ ke dalam masalah pengangguran massa, perdagangan dadah, kemiskinan dan pelacuran. Inilah suasana dan ketika yang melatari maksud ‘keresahan urban’ yang diistilahkan oleh tokoh pengkaji kajian budaya yang tercetus di England pada tahun 1980-an, terutamanya di Toxteth, Handsworth, Brixton, Tottenham, dan juga di Los Angeles pada tahun 1992 (Chris Barker, 2005: 407).
Seperkara lagi dalam dunia sastera dan seni tanah air (Melayu) tidak ada usaha pengkritiknya yang berani dan bertanggungjawab untuk menyoal dan membimbing para penggiat seni yang sedang melalui fasa kurang sihat ini. Memang mendukacitakan sekali, bahawa dalam industri seni, kita tidak mempunyai pengkritik yang berwibawa dan jujur dalam memberikan kritikan terhadap semua bidang kesenian yang sedang rancak tumbuh di tanah air. Ini satu ‘kemalangan’ dunia seni Malaysia! Yang ironinya dalam kes teater muzikal ini ialah kesedaran dan pernyataan pengarah Ahmad Idham sendiri. Dia tahu tahap kemampuan dan segala kelemahannya. Jadi kenapa dia cuba juga memasuki IB?
Sekiranya IB sebagai sebuah gedung kesenian yang bermartabat tinggi, memahami perkembangan dan fenomena kecelaruan di kota menerusi disiplin cultural studies, sudah tentu mereka yang diberikan amanah besar itu tidak dengan mudah untuk menghalalkan persembahan drama semacam ‘Impak Maksima’ itu dimainkan di IB, dan akhirnya, mereka dipermain-mainkan orang sebagai impak bahananya pengurusan seni yang kecundang!
Apapun gejolak sebuah dunia seni kita yang terus dikepung ironi ini, mengingatkan penulis terhadap sebuah pantun sepertimana terdapat dalam lirik nyanyian A Rahman dalam tahun-tahun 1950-an dulu, yang penulis kira sangat impresif kesannya. Barangkali coretan ini sesuai ditutup dengan rangkap awal lagu tersebut; mudah-mudahan kita insaf akan kekayaan budi dan nilai seni Melayu yang semakin sirna masa kini, akibat tentangan individualisme dan komersialisme yang tidak berhemah itu, apabila kehidupan kota yang serba ketaketahuan itu pun disebut sebagai sebuah teks:
Masuk istana si ganja iras
hendak bertemu tuan puteri
tuan umpama peropok beras
kalau tak jaga tikus mencuri.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home