Tuesday, November 25, 2008

Nukilan Budaya

MENJANA PERKEMBANGAN SASTERA DI PERINGKAT WILAYAH TELUK BORNEO*
© Oleh A Rahim Abdullah, GAPENA 2008
TIGA puluh tahun lalu, sastera Melayu dikatakan ketinggalan 200 tahun di belakang dunia Barat. Tetapi hari ini, kita dapat mengejarnya, kerana adanya dunia IT dan ICT yang canggih, akibat globalisasi yang membantu kita dalam menjana taraf kehidupan yang pantas dan selesa. Tetapi benarkah sekarang ini setelah kita menguasai ICT dan internet, sastera kita boleh dikatakan maju dalam semua bidang kesusasteraan?
Mana Sikana, tokoh ilmuan cum sasterawan yang begitu prihatin dengan kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, pernah menuduh (beralasan) 25 tahun lalu, bahawa sastera Melayu amat kecil dunianya – marginal dan sekaligus diseksa oleh rasa rendah diri. Di tengah gelombang tamadun dan intelektualisme, katanya lagi, penulisan puisi kita baharu sahaja berkenalan dengan teks berpemikiran. Sementara sajak-sajak kita lebih memperlihatkan ekspresi perasaan mengatasi pemikiran, bermain-main dengan kata-kata sehingga pengarang (penyair) dirantai dan dijajah oleh keajaiban bermain bahasa. Hal ketiga disebut Mana Sikana, berkaitan nilai estetika, khususnya puisi yang banyak diletakkan pada susunan bunyi dan perkataan, maka akibatnya lahirlah karya-karya yang bergema dan lebih pada mempersonakan indera pendengaran. Persoalan keempat adalah kewujudan teks atau karya eksperimen yang bercorak onomatopia, konkrit dan tipografik, cuba menyimpang dari tradisi lakaran moden yang menunjukkan bahawa ada usaha-usaha pencarian ke arah teks bertaraf avant-garde (1983 dan 2004: 204-205).
Namun begitu, walaupun kita berusaha mengejar arus global, tidak semua kita dari kalangan penulis muda yang ampuh dan menguasai IT itu mengikuti dan benar-benar memahami perkembangan dunia sastera di luar sana, sama ada di Barat mahupun Timur. Apatah lagi untuk menjadi pengkritik dan pengkaji sastera yang tekun dan cemerlang, kerana ia bukan dapat dilakukan dengan jalan yang mudah dan pantas. Dan agak mendukacitakan, ramai di kalangan penulis kreatif sendiri yang tidak senang atau memahami kebaikan dan manfaat yang ada di dunia nonkreatif ini sebagai wahana penting dalam menjana perkembangan dunia kreatif. Malah ada penulis muda yang segan-segan, bimbang jika karya mereka dikecam dan dikritik. Pada hal, kritikan adalah sebahagian berlakunya proses kreativiti yang panjang yang pulangannya akan dinikmati kembali oleh pengarang berkenaan, dan akhirnya menyuburkan lagi dunia kreatif – dunia sastera kita sendiri.
· Kertas kerja dibentangkan pada Dialog Teluk VI, di Hotel Sara, Labuan pada 15 November 2008

Kami di GAPENA, sudah tentu amat bimbang dengan fenomena begini, terutamanya melihat perkembangan sastera secara umum di wilayah Sabah dan Sarawak atau sekitar rantau Teluk Borneo ini. Malahan iklim di Semenanjung sendiri pun kelihatannya tidak setara: perkembangan dunia kreatif dengan perkembangan dunia nonkreatif, khasnya dalam bidang kritikan sastera masih tempang. Senario semacam ini perlu kita rombak, sekiranya kita berhasrat mahu melihat perkembangan dunia sastera Melayu seluruhnya sihat.
Entah kenapa, budaya kritikan itu seolah-olah sebuah ungkapan yang memedihkan. Dunia kritikan dilihat terlalu asing dan naïf dalam sumbangan dan fungsi utamanya yang khas, iaitu membina sastera kreatif dan pengukuhan kesusasteraan kebangsaan sendiri. Bidang kreatif dan nonkreatif, ibarat aur dengan tebing – saling bantu membantu. Jika tidak perkembangan sastera secara keseluruhannya tidak kena! Jadi sampailah masanya untuk kita merobah rasa ketakpedulian terhadap genre kritikan itu diberikan rasa kagum dan apriori yang tinggi apabila kita memahami manfaatnya yang sebenar.
Barangkali suasana atau iklim yang suram ini terjadi, kerana adanya beberapa anggapan negatif dan persepsi pesimistik terhadap kritikan, sepertimana yang telah disuarakan oleh Mana Sikana (di Singapura) dalam kajiannya terhadap para peserta bengkel ‘Hendak Menjadi Pengkritik’ yang diadakan setiap hari Sabtu, di Majlis Pusat Toa Payoh, Singapura. Suasana suram di Singapura itu juga barangkali masih membekas bagi sesetengah masyarakat sastera di Malaysia sendiri, yang beranggapan bahawa kritikan adalah sesuatu yang negatif seperti berikut:
1. Tiada pendedahan ilmu kritikan
2. Konsep kritikan hanya untuk mencari kelemahan
3. Tiada wadah atau ruang khusus untuk kritikan
4. Pengarang bersikap tertutup
5. Kepupusan minat terhadap sastera dan bahasa Melayu sendiri
6. Kurangnya program atau kegiatan analisis teks dan kritikan yang bersifat teoritikal (Mana Sikana, 2004: 338).
Sekiranya kita fikirkan kembali senario yang terjadi di Singapura lima tahun kebelakangan itu, dan diambilkira dengan apa yang terjadi di rantau Teluk Borneo ini pun, nampaknya ia membawa kesan dan wajah yang sama. Mungkin kita akan bertanya lagi - siapakah pengkritik di Sabah, Sarawak dan di Labuan yang boleh menjadi kebanggaan masyarakat pengarang/sastera setempat? Di Sabah, kita ada Dewan Bahasa dan Pustaka dan Univeristi Malaysia Sabah (UMS) di mana pernah wujud Matlin Dollah, Jasni Mat Lani dan sekarang pensyarah Asmiaty Amat. Di Sarawak juga ada DBP Cawangan dan UNIMAS, di mana lahirnya tokoh seperti Jeniri Amir, Jais Sahok, Zaino Oje dan yang mutakhir pensyarah Awang Azman Pawi. Hal ini tidak sama situasinya jika dibandingkan dengan apa yang terdapat di UBD, kerana di sana menjadi pusat para sarjana dan pengkritik tersohor bermastuatin: Lutfi Abas, Hashim Awang, Sahlan Mohd Saman, dan Nurazmi Kuntum, sebelum ini Harun Mat Piah, di samping tokoh-tokoh dari kalangan anak jati Brunei Darussalam sendiri. Setakat ini, segala sumbangan mereka itu memang menggalakkan, akan tetapi ia masih belum mencukupi untuk memenuhi atau mencapai aras piawaian kritikan sastera yang harus ada objektifnya sendiri. Misalnya, dalam masa sebulan, berapa banyak esei dan kritikan dapat diterbitkan di media massa tempatan, atau dalam jurnal dan monograf khas di IPT? Dan dalam masa setahun pula, berapa jumlah keseluruhan pengkajinya yang mengupas dan mengkritik karya para sasterawan muda dan mapan di wilayah-wilayah berkenaan, dapat dilaksanakan dengan penuh saksama? Jika hal ini dapat disasarkan, barangkali kita akan berasa bangga, kerana dalam masa lima tahun, tahap perkembangan kritikan dan karya kreatif akan berjalan senada dan seirama!
Enam persoalan yang saya gariskan berdasarkan maklumat yang dihasilkan Mana Sikana setelah berada di Singapura lebih lima tahun itu, juga harus menjadi cabaran kepada kita semua supaya tidak mengikut rentak orang Melayu atau masyarakat Singapura yang semakin menipis cintanya pada bahasa dan sastera Melayu! Kesedaran betapa perlunya kita menghidupkan tradisi kritikan di Malaysia secara serius dan optimum, dan usaha yang sama di peringkat zon atau wilayah harus dilipatgandakan lagi dari semasa ke semasa.
Kalau kita mengharapkan keunggulan dunia sastera Melayu, sastera dan dunia kepengarangan Nusantara ini besar dan maju, maka disiplin dan ilmu kritikan harus dijadikan prioriti. Secara umumnya, tradisi pengukuhan kritikan seni dan sastera ini secara sistematiknya memerlukan kepada 5P: pembina, penguasa, pemikir, pengamal dan pengajar, baharulah ia dapat direalisasikan dengan betul. Usaha untuk merealisasikan 5P di wilayah masing-masing pada masa kini bukan satu masalah lagi, kerana di Sabah dan Sarawak ada DBP Wilayah, ada UMS dan UNIMAS. Di Brunei Darussalam ada DBP Brunei dan UBD. Di Labuan ada kampus UMS Cawangan dan PERWILA kerabat GAPENA, yang boleh menjadi agen pemangkin untuk menggerakkan aktiviti latihan atau kursus secara formal dengan bantuan GAPENA, DBP Cawangan Sabah, tokoh pengkritik dan sarjana sastera berwibawa, atau dengan kerjasama Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sama ada untuk kritikan sastera/seni, filem dan TV, drama dan teater, muzik dan tari, ataupun dalam bidang seni halus.
Untuk langkah masa depan yang lebih cemerlang, pemimpin persatuan penulis haruslah bertanggungjawab dan jujur dalam mengenalpasti penulis atau ahli persatuannya yang aktif dan berbakat dalam bidang masing-masing. Sekiranya GAPENA bertanya pada PERWILA misalnya, berapa orang pengkritik di Labuan? Dengan mudah AJK PERWILA memberikan reaksi dengan membuka komputernya, dan tidak sampai lima minit Rumah GAPENA di Kuala Lumpur akan menerima faksimile atau hantaran melalui internet senarai pengarang/pengkritik yang dimaksudkan!

Dengan kata lain, pemimpin persatuan (ada juga yang tidak menjadi penulis) perlu menyenaraikan tokoh-tokoh penulis, pengarang veteran yang uzur atau sudah meninggal dunia, penulis muda yang aktif, mengikut kategori masing-masing. Direktori penulis ini akan memudahkan pengurusan apabila ada pihak tertentu yang ingin mengkaji karya penulis mahupun mengenai pengurusan sebuah organisasi penulis tanah air yang cekap dan berjaya. Sudah tentu satu dosa kepimpinan, khasnya dalam dunia pengurusan seni dan budaya ini, jika ada pemimpin persatuan yang tidak tahu atau gagal mengenalpasti kredibiliti ahli-ahli persatuannya sendiri!
Pada masa kini, bagi penulis yang berjaya menerbitkan karyanya di majalah Tunas Cipta dan Dewan Sastera, seolah-olah telah melepasi benteng yang menyekat daya kreatif mereka selama ini. Mungkin mitos ini benar, mungkin juga tidak tepat. Tetapi bagi mereka yang belum berjaya melepasi tembok itu, janganlah mudah berputusasa kerana ketiadaan wadah media untuk menyiarkan karya mereka. Mungkin kelambatan mendapat tempat di media berkenaan ada hikmahnya – ia memberikan peluang untuk kita memperbaiki karya dan mematangkan pengalaman. Jadi pada masa inilah ruang penulis kreatif perlu diisi dengan menghadiri bengkel, tunjuk ajar dari kalangan guru, dan pengkritik tempatan untuk membedah karyanya, di samping menimba ilmu tambahan terutamanya tentang teori dan penulisan kritikan.
Sehubungan dengan itu, GAPENA telah merangka satu program bersepadu yang dinamakan Program Pembinaan Rangkaian Kebangsaan Sasterawan Muda Malaysia (PPRKSMM) dalam memajukan bakat penulis muda Malaysia. Kumpulan sasar program ini terdiri dari para pelajar menengah atas, mahasiswa keguruan dan IPT, melalui kursus teknik penulisan dan pemahaman alam persuratan. Selain itu, PPRKSMM juga bertujuan membina cita-cita dan ketrampilan para penulis remaja dan generasi muda melalui penerbitan, wacana dan percambahan fikiran, dan membentuk jaringan penulis muda seluruh negara dari kalangan mereka yang telah mencapai tahap kegiatan yang memberangsangkan dan berdaya maju.
GAPENA sebagai penganjur utama projek ini akan melaksanakannya melalui badan kerabat, Jabatan Perpaduan, Jabatan Kebudayaan Kesenian dan Warisan Negeri, ASWARA, Dewan Bahasa dan Pustaka pusat dan Wilayah, dan juga kerjasama dengan IPT tempatan. InsyaAllah, program ini akan dilancarkan oleh GAPENA pada tahun hadapan (2009); mudah-mudahan ia akan menjadi model kepada seluruh kaum penulis dalam masa terdekat dalam rangka kita mengimarahkan dunia seni sastera dan budaya tanah air seadanya
Pada masa kini, terlalu banyak teori sastera dan seni sedang berkembang. Terpulanglah kepada kita sebagai individu yang cenderung untuk mengambil dan merealisasikan teori-teori berkenaan dalam kajian dan analisis teks mereka. Yang penting, kerja kritikan harus diteruskan semaksimum mungkin, bagi mengimbangi kemajuan penulisan kreatif. Kalau kita mengambil contoh karya drama Brunei, Antologi Drama Asean: Brunei (diterbitkan oleh DBP Kuala Lumpur pada 2007), adakah ia pernah diforum atau diadakan diskusi khas, dianalisis oleh para pengkritik di DBP Seri Begawan, atau para sarjana di UBD, terutamanya drama ‘Rakis’ karya Hj A Rahman Mohd.Yusof; ‘Pengiran Indera Mahkota’ dan ‘Merangsang Mimpi’ (Awang Mohammad Hj Timbang); ‘Dendam di Kalbu Membara’ (Hj. A. Wahab Mohammad); ‘Bunga Lapik Pinang’ (Hj Leman Ahmad), dan ‘Igau Sampai di Mana’ (Hj. Mohd. Salleh A. Latip)? Apakah enam karya tersebut sangat menarik jika dikaji dari aspek cultural studies, yang tidak sahaja melihatnya daripada aspek struktural secara konvensional, tetapi melihat kaitannya dengan latar dunia siosobudaya Brunei, sewaktu karya-karya tersebut dihasilkan. Malahan kajian budaya juga dipermanfaatkan untuk melihat ruang-ruang keterbukaan yang memungkinkan adanya daya saing, daya pengeluaran/pemasaran dan kepenggunaan – dikaitkan dengan industri seni drama/teater di Brunei pada masa kini, yang menyebabkan ia boleh membawa pulangan berjuta ringgit setiap tahun, dinilai atau dibandingkan dengan persaingan budaya pop – seperti drama TV dan filem; status quo masyarakat Brunei, dan segala macam kemungkinan yang boleh menjadi penyumbang kepada pembinaan jati diri dan bangsa/negara Brunei sendiri di abad-abad akan datang. Semua kemungkinan ini terjadi, kerana kajian budaya tidak menyempitkan dirinya untuk digunapakai dalam mana-mana teks dan konteks.
Sastera dan teori sastera sebenarnya bergerak pantas dalam situasi yang sukar diramalkan. Bahkan istilah dan pengertian kesusasteraan itu pun berubah-ubah mengikut kepentingan pada waktu ia ditafsir dan dipergunakan orang. Teori sastera pula selalunya memberikan pelbagai cara untuk diberikan takrif ‘kesusasteraan’ atau sekurang-kurangnya memikirkan tentang apakah isu-isu yang mungkin cuba diberikan sebarang definisi. Teori itu tidak semestinya secocok antara satu sama lain. Teori sastera sebagai suatu bidang pengetahuan tidak menawarkan sebarang penyelesaian yang mudah, atau yang tidak boleh dipertikaikan terhadap persoalan apakah erti ‘kesusasteraan’ itu, atau bagaimanakah ia harus dikaji. Kerana itu, teori dan kritikan ini bila dikahwinkan ia akan menjadi seni yang lestari, walaupun banyak orang tidak menyedari hakikatnya.
Mengkaji atau menilai karya sastera sebenarnya adalah satu tugas yang mengasyikkan, dan membahagiakan kepada mereka yang ghairah mencari sesuatu yang lain daripada karya yang pernah mereka baca dan kaji sebelumnya. Di samping itu, dari tubuh dan jiwa si pengkaji itu sendiri harus tumbuh rasa insaf dan sedarnya, bahawa baik karya mahupun pengarangnya haruslah diberikan nilai semacam barang suci yang amat sacral, apabila karya itu mencapai tahap kecemerlangannya.
Tahun lalu, penulis telah membincangkan masalah bagaimana cara kita melawan globalisasi yang menghimpit bahasa dan sastera Melayu, sedangkan industri seni yang menguasai pasaran di Malaysia melebihi RM1 bilion setahun? Adakah ini semua terjadi kerana kita gagal mengatur sistem pendidikan yang selaras dengan tuntutan pasaran? Jika ini benar, maka beberapa faktor lain yang saling pengaruh mempengaruhi merantaikan lagi permasalahan bahasa dan maruah bangsa sebenarnya. Ini mengaitkan pula dengan kegagalan birokrat sastera dan budaya memasarkan hasil kesenian dan kesusasteraan: termasuk promosi sastera Melayu di peringkat antarabangsa; imej sastera budaya yang terpinggir akibat dominasi karya dan budaya popular dalam masyarakat Malaysia, di samping faktor kurangnya kritikan sastera yang turut menjejaskan perkembangan bahasa sastera dan seni; dan kegagalan persatuan penulis dalam membantu kreativiti penulisan dan penerbitan (A. Rahim Abdullah, 2007).
Kalau di Indonesaia sejak dua tahun lalu, isu novel Ayat-ayat Cinta yang laris dan menjadi puncak fiksi Islam dan berjaya memikat 3 juta penonton bila teks itu difilemkan, tetapi berbeza dengan senario di Malaysia sekarang ini. Di laman blog kita adalah kritikan terhadap budaya popular, terutamanya mengenai drama TV yang gagal diadaptasi daripada novel. Lebih jelas adalah reaksi pembaca atau penonton yang marah dengan kegagalan penerbitan Sangeetha (novel Azizi Haji Abdullah) yang menang Anugerah MASTERA tahun 2007) itu apabila disiarkan menerusi slot Panggung RTM, pada 3 September 2008!
Mungkin tidak salah jika dikatakan, bahawa masalah kritikan di Malaysia hari ini terjadi akibat kelesuan ilmu dan kegagalan sistem pendidikan yang bersifat anti-ilmu. Hal ini terjadi kerana gerakan memperkasa bidang kritikan sastera dan kritikan seni itu sendiri tidak mencukupi, bahkan gagal memenuhi matlamat sebenarnya. Dalam industri budaya popular sendiri, khasnya dalam genre filem, kita belum mendapat bentuk kritikan seni filem yang sebenarnya. Apakah wajar kita saling menyalahkan pihak lain? Apa yang terjadi di institusi pengajian tinggi awam masa kini? Berapa banyak universiti milik pemerintah yang menawarkan subjek atau bidang kesusasteran (moden dan klasik) dan masih ramaikah pelajarnya yang berminat? Apakah fungsi Bahagian Teori dan Kritikan, Jabatan Sastera DBP di Kuala Lumpur itu juga gagal memainkan peranannya?
Sudah tentu permasalahan besar ini akan dirantaikan pula dengan gerakan semasa, yakni pertubuhan atau organisasi penulis yang mungkin didakwa tidak bermint atau meminggirkan usaha membentuk dan membantu penulis pelapis dalam bidang kreatif dan nonkrearif. Barangkali ada pihak yang terus menyelar GAPENA, kononnya tidak nampak kepentingan ini? Persatuan Penulis Nasional (PENA) pula gagal mempertahankan Akademi Penulis lebih sedekad yang lalu disebabkan krisis kewangannya?
Bagi mengakhiri wacana ini, kami berharap sudah sampai masanya persatuan penulis wilayah, daerah dan negeri berusaha menimbulkan minat dengan kegiatan kritikan khasnya – dimulai dengan diskusi buku karya ahli-ahlinya yang baru diterbitkan. Sekurang-kurangnya ia menjadi satu tradisi yang sihat, sebagai langkah apresiasi dan pendorong kepada sang penulis terbabit. Bengkel yang khusus mengenai kritikan boleh diatur bagi mendapat tenaga pakar ini, dengan kerjasama badan induk GAPENA, Bahagian Teori Sastera di DBP, Fakulti Penulisan atau Filem dan TV, dan Teater di ASWARA, dan dengan IPT tempatan. Tentulah tenaga ini dapat dipermanfaatkan dengan sebaiknya oleh pemimpin persatuan setempat apabila mereka berjaya mengadakan kerjasama yang intim dengan pihak berkenaan.
Kami yakin, apabila PPRKSMM berjalan lancar, GAPENA akan terbuka fikirannya untuk mempertimbangkan kemungkinan penerbitan sebuah majalah sastera budaya dan seni bersifat semi popular, bagi mengisi karya kreatif dan kritikan para penulis tanah air. Di samping itu, sekiranya ada pandangan untuk mempermajukan bidang kreatif dan kritikan ini, bukan tidak mustahil diwujudkan satu bentuk hadiah atau anugerah galakan bagi penulis di beberapa wilayah (walaupun di peringkat serantau dan Nusantara sudah ada anugerah karya kreatif dan kajian {nonkreatif} di peringkat MASTERA). Hadiah bersifat galakan dan insentif di peringkat Wilayah Teluk ini misalnya, masih wajar dipertimbangkan memandangkan anugerah Mastera itu terlalu tinggi, dan peluang memenanginya agak terbatas. Wallah hu aklam.

SUMBER RUJUKAN
A Rahim Abdullah, 2007. ‘Sepuluh Cabaran terhadap Bahasa dan Sastera Melayu’. Kertas kerja Seminar Hubungan Melayu Serantau: Hubungan Malaysia dan Sumatera, anjuran PENA dan Fakultas Sastra Universitas Sumatera Utara, Medan pada 24-25 Ogos 2007.
Mana Sikana, 1983. Aliran dalam Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distribution Sdn Bhd.
-------------------, 2004. ‘Penyair Terkemuka Malaysia: Analisis Elektikal Pascamoden’ dalam Sastera Melayu Pascamodenisme. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka: 204-276.
-------------------, 2004. ‘Membina Tradisi Keunggulan dan Strategi ke Persada Sastera Pascamoden’. Ibid: 324-366.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home