Tuesday, November 25, 2008

BENARKAH SENI ITU INDAH?

BENARKAH SENI ITU INDAH?
(Bahagian Kedua)
Oleh A. Rahim Abdullah
Masyarakat Malaysia hari ini, rata-ratanya masih keliru atau cetek pengetahuan dan pemahaman mereka terhadap seni. Apatah lagi untuk menghubungkan seni sebagai satu ilmu yang perlu dipelajari, dikuasai dan diperkembangkan oleh manusia. Sebagai orang yang berilmu, tentulah kepentingan seni tetap menjadi sebahagian agenda penting dan pendidikan negara sepertimana subjek dan ilmu lain. Dengan adanya kesedaran massa terhadap pentingnya seni sebagai sebahagian kehidupan manusia, maka akan sahlah bahawa industri seni di Malaysia sangat maju, lantaran ia mampu membawa pulangan berbilion ringgit setiap tahun!
Dengan itu adakah para pembaca dan para pelajar kita melihat pengertian seni itu sebagai:
· Indah
· Cantik
· Menawan
· Menakjubkan
· Mengagumkan
· Menyenangkan?
Kita juga barangkali kurang arif, bagaimana lahirnya perasaan seni manusia yang bersumberkan dari alam sekeliling dan dari dalam diri kita sendiri. Unsur dalaman manusia yang melahirkan rasa seni itu dikatakan berpunca daripada:
· Akal
· Roh
· Kalbu
· Nafsu
Dalam diri manusia ada pancaindera yang turut berfungsi dalam menentukan rasa seni iaitu:
· Lihat
· Dengar
· Rasa
· Bau
· Sentuh

Masalah seni dan keindahan dalam budaya dan pemikiran orang Melayu agak mengelirukan, jika tidak kita kaitkan dengan konsep kebudayaan. Banyak orang meletakkan budaya sebagai barangan seni yang kecil, terpinggir, tidak perlu diberikan keutamaan atau tempat yang istimewa dalam kehidupan. Sebenarnya budaya adalah hasil gabungan kata BUDI + DAYA. Takrif budaya melebihi 30 definisi, mengikut bidang ilmu, kajian yang berkepentingan dengan manusia sejak zaman awal tamadun sehingga kini. Secara mudah, mungkin kita memahami pengertian BUDAYA atau KEBUDAYAAN itu membawa maksud:
· Peradaban
· Tamadun
· Akal budi yang maju
· Kemajuan rohani dan jasmani manusia
Dalam bahasa Melayu, konsep kebudayaan itu diturunkan dari konsep budi yang kuat perkaitannya dengan perkataan Buddha (yang mendapat cahaya). Dari kata ‘budi’ timbul pula budi-daya atau budaya, yakni daya, usaha atau hasil daripada budi.
Sutan Takdir Alisjahbana telah menggariskan bahawa budi manusia sebagai satu sistem yang terbuka dan dinamis. Manusia seperti ini seharusnya mampu berada dalam proses penilaian, iaitu menciptakan nilai-nilai yang menjadi inti kelakuan dan hubungan kebudayaan manusia. Mengikut Edward Spranger, nilai-nilai manusia itu dapat dibahagikan kepada enam jenis. Nilai yang pertama adalah ‘nilai teori’ sepertimana terjelma dalam ilmu dan pengetahuan. Yang kedua adalah ‘nilai ekonomi’, yang dapat dinamakan kegunaan (utility); ‘nilai agama’ yang berupa kekudusan (holiness); ‘nilai estetika’ yang dinamakan expressiveness; ‘nilai sosial’ yang vertikal (kuasa yang muncul dalam kelakuan dan hubungan politik). Yang keenam adalah ‘nilai sosial yang horizontal’, yakni perpaduan yang menjelma sebagai cinta, persahabatan dan kerjasama.
Kedudukan Seni dalam Kebudayaan
Barangkali di sinilah berlaku salah faham bagi bangsa Melayu apabila berlakunya integrasi pelbagai subsistem nilai. Dengan kata lain, ‘nilai seni’ sebagai suatu sistem nilai adalah berkaitan dengan subsistem agama, ilmu pengetahuan, ekonomi, perpaduan dan kekuasaan. Oleh kerana itu, proses kebudayaan sebagai penjelmaan keseluruhan sistem nilai berlaku sebagai proses sosial dalam kelompok sosial.
Apabila kita menentukan proses estetik sebagai suatu proses kejiwaan, maka proses sosial dan proses kebudayaan secara langsung atau tidak langsung, telah kita tunjukkan kedudukan dan erti nilai estetik atau seni dalam keseluruhan kebudayaan, sama ada dalam integrasi, konsistensi atau keunggulannya, mahupun dalam disintegrasinya dengan ketegangan dan konfliknya yang banyak.
Memanglah tepat bahawa seni dan keindahan itu membawa manfaat atau kebaikan kepada manusia, sama ada bagi mereka yang terlibat mengalaminya, mahupun bagi orang yang melihat kejadian akan sesuatu perlakuan dan peristiwa tertentu. Kita mudah terpesona dan merasa bahagia serta puas apabila mengalami peristiwa yang menyenangkan, terjadi antara manusia dengan manusia. Misalnya, kita menyaksikan peristiwa ‘jejak kasih’ di kaca TV, apabila si ibu tua berjaya menemui anaknya yang terpisah selama 30 tahun, akibat sesuatu peristiwa yang tidak dapat dielakkan.

Pengalaman tersebut menyebabkan kita terpesona atau tergugah oleh perasaan – kita menangis barangkali, seolah-olah kita sendiri yang mengalami peristiwa tersebut. Begitu juga dengan pengalaman manis dan bahagia kita nikmati, ketika bersama-sama bergotong-royong membuat atau membina rumah kebajikan anak-anak yatim. Asas kemanusiaan ini iaitu usaha membantu orang lain dengan cara bergotong-royong , merupakan lanjutan dari naluri (instinct) makhluk untuk melestarikan kehidupannya.
Dalam hal manusia yang telah menjadi anggota masyarakat, naluri ini merupakan ‘naluri perpaduan –sejenis’ yang amat penting untuk mempertahankan kehidupan kelompok dan individu. Bagi manusia yang beretika dan bermoral, naluri ini menjadi kesedaran – dijadikan kesedaran sosial, memberikan rasa tanggungjawab. Apabila ia telah dipenuhi, maka ia akan menjadi rasa bahagia kita.
Sebagai contoh dan penutup wacana ini, penulis menurunkan sebuah lirik lagu (1950-an) yang memperlihatkan rasa kagum dan keterpesonaan manusia. Lagu ‘Dewi Manja’ asal nyanyian Sam Saimon ini, turut dipopularkan oleh A Ramlee pada tahun 1980-an.
Aku kenal padamu
hanya dalam khayalan mimpi
suaramu yang merdu
menawan hati rindu, kasih.
Aku cinta padamu
gambarmu menghiasi majalah
sungguh manis senyummu
hatiku rasa gundah.

Aduh apa daya!
lautan luas memisah kita
namun dikau dewi
selalu dimanja-manja.
Aku mabuk seorang
merindukan bintang di awan
tak kan tercapai tangan
jauh dari lambaian.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home