Tuesday, April 28, 2009

MAKNA SEPI DALAM KARYA CEREKA SRI DIAH

MAKNA SEPI DALAM KARYA CEREKA SRI DIAH

MELIHAT karya Sri Diah secara intrinsik, tanpa menghubungkannya dengan faktor luaran, dengan sifat sebagai pembaca lelaki, tentu ada yang tergoda dengannya, di samping memenuhi impian seseorang itu sebagai pembacanya. Apabila pengkaji menyatakan impian, ia juga sekali gus menyedarkan bahawa kata “impian” yang kita fahami selama ini, bukan sahaja terbatas kepada keinginan, cita-cita dan harapan seseorang akan kebahagiaan hidupnya, agar semunya menjadi nyata dan hadir di dalam faktual, tetapi istilah kesusasteraan sendiri – kata “impian” itu membawa makna yang cukup tinggi harkatnya, tidak mungkin lagi kita akan memperkecilkannya.

“Dari segi sejarah, impian adalah hasil kerja bercorak deskriptif yang mudah, sama ada dalam bentuk prosa ataupun puisi, yang menggambarkan suasana dan kehidupan yang bercorak pastoral. Dengan itu unsur-unsur pastoral yang deskriptif sifatnya biasanya merupakan unsur yang perlu ada lama sebuah impian, meskipun secara sedar unsur pastoral lebih jelas dikemukakan dalam penciptaan itu. Impian mengambil sudut pandangan tentang masyarakat yang telah bertamadun dan yang diidam-idamkan, yang ditinjau dari kaca mata penulis yang menginginkan sebuah kehidupan yang murni.”
(Glosari Istilah Kesusasteraan, 1988: 110).

Kita pernah mendengar frasa “sepi” dan ungkapan mengenainya, antara lain: “sepi itu indah” atau “penantian suatu penyiksaan”. Ini kerana dalam kesepian itu mengandungi banyak hal yang berkaitan dengan sifat sepi. Paling mudah, apabila seseorang berada sendirian, keseorangan dalam suasana tertentu, yang menekan atau sedih dan pilu, maka akan lahir kesan sampingannya: Hatinya mudah terusik; daya sensitivitinya yang tinggi; prihatin; melamun tinggi; teringatkan masa lalu yang tidak kesampaian, atau kenangan silamnya yang manis, ataupun membandingkannya pula dengan masa depan (harapan dan impian) yang belum mampu dipastikan (suatu ramalan). Apabila meneliti beberapa cerpen Sri Diah (SD) dalam kumpulan Janji Bulan Madu, pembaca akan bertemu dengan judul-judul yang ada kaitannya dengan maksud sepi dan seksa yang dideritai manusia (khasnya wanita), misalnya: ‘Air Mata Bonda’; ‘Alangkah Seksanya’; ‘Duka Isril;’ ‘Igau’; ‘Janji Bulan Madu’; ‘Janji Seribu Liku’; ‘Kerana Janji Nengsih’; ‘Mimpi’ dan ‘Tiada Siapa Selain Aku’. Maknanya daripada 15 cerpen di dalam kumpulan ini terdapat sembilan judul yang mengarah atau membawa pertalian dengan individualiti dan sifat “aku” (watak) yang kesendirian atau gagal dalam hidupnya.

Sekali pandang pada judul cerpen, sudah ada semacam ikon yang menyarankan, atau menggoda pembaca untuk mencari individualiti pengarang ini. Apabila pengkaji menggunakan istilah individualiti, secara sedar ataupun tidak, ia mengemukakan pula permasalahan baru kepada pengkaji bahawa individualiti sebenarnya satu ciri utama yang mendorong seseorang ke arah pengkajian kesusasteraan. Dengan kata lain, dengan individualiti yang ada pada karyanya ini telah mampu melahirkan minat pengkaji untuk meneliti sifat individual (SD) di dalam kumpulan cerpen ini.

Cerpen pertama, ‘Airmata Bonda’, mempunyai pemikiran yang menarik mengenai konflik gadis bernama Narimah, apabila memilih lelaki asing, Samuel, yang ditemui pada satu senja musim panas di gigi pantai Florida. Pelukisan konflik Narimah cukup kuat dan nostalgik, dia berdepan dengan dilema – cita-citanya besar hendak memelayukan Samuel apabila menjadi suaminya, tetapi niatnya itu dihalang seluruh anggota keluarganya. Teknik imbas muka dan imbas kembali, digunakan berkali-kali untuk memperlihatkan gejolak batin Narimah yang tidak mahu melukakan hati ibunya, setelah dia memilih Samuel sebagai teman hidupnya. Dia berperang dengan sikap dan diri sendiri – apakah keputusannya itu satu keberanian atau kerana runtunan nafsunya semata-mata? Lihat bagaimana pengarang mengisahkan kesendirian atau kesunyian yang menguasai Narimah yang berhempas pulas dengan cita-citanya itu:
‘Serindit hijau masih lagi mengepak-ngepak kecil di beranda. Segelas sirap separuh manis yang hampir tertumpah sudahpun habis menyerapi kerongkong Narimah yang kering oleh kata-kata perasaan dan perdebatan batin yang hebat.
Narimah bangun melangkah ke beranda dan menggetis-getiskan ibu jari dan jari hantunya kepada lonely green yang tergantung-gantung di atas kepala sambil bersiul-siul kecil. Lonely green riang mendengar getisan tangan yang sangat dimesrai bunyinya itu.
Narimah melihat kegelapan dan berasa kedinginan yang menyerkup flat seperti satu terowong panjang yang sesekali berkelip-kelip dengan cahaya daripada kereta-kereta yang melintas’. (hlm. 6-7)

Seterusnya pengarang menggunakan teknik imbas kembali:
‘Ángin yang menyelak-nyelak gaun malam berwarna merah jambu dan berambu-rambu di lengannya itu terasa bagaikan tamparan angin laut pantai Florida saat pertama kali melihat tubuh sasa Samuel sedang terlentang dihanguskan oleh bahang matahari.
‘Aku boleh, kau mesti boleh. Berpisah? Jangan itu yang kau sebut. Pantai Florida telah menyaksikan anggukan cinta daripada kau, dan aku mahu Tanjung Puteri menjadi saksi bahawa cintaku kepadamu juga jitu’. (hlm. 7)

Dalam menggambarkan impian masa depan Narimah, pengarang membayangkan imbasan mukanya seperti berikut:
‘Narimah seperti melihat Samuel terkial-kial mencedok air di perigi yang apabila sampai ke atas hanya separuh timba sahaja. Narimah tahu lelaki itu akan mencuba lagi. Narimah juga seperti terpandang Samuel sedang terkial-kial membelah kelapa sebelum dikukur oleh Narimah dan kemudian lelaki itu akan ke belakang dapur untuk mengambil kayu api dan menolong menyorongkan ke bawah tungku sambil meniup-niupnya perlahan, asap yang terbit itulah juga yang kemudiannya menerbitkan air mata Samuel.
‘Seperti suami orang lain, Samuel jugalah yang akan membisikkan azan ke telinga Nurul Ain sekiranya ia seorang dewi ataupun ke telinga Muhammad Raqib, sekiranya ia lelaki; yang lahir daripada rahim Narimah sendiri. Narimah seperti terdengar dan terlihat-lihat episod yang terlalu ditunggu dan dinanti-nantikan itu.’ (hlm. 13)

Sesuatu yang menarik dalam cerpen ini ialah mengenai unsur salah duga, apabila pengarang menyimpangkan ramalan pembaca. Ini kerana dunia mungkin dan impian Narimah itu, memang terjadi dalam igauannya yang panjang – dilukiskan terlalu detail oleh pengarang. Tetapi, deksripsi itu bukanlah sia-sia belaka, kerana pegarang sebenarnya memperlihatkan sikapnya yang kental terhadap kepentingan dan keperibadian Melayu, alam dan budayanya, yang tidak mungkin mengalah kepada cinta yang dihulur daripada dunia Barat!
‘Narimah seperti ingin meraung dan menghantukkan kepalanya ke tembok. Bahkan dia bukan sahaja berasa ingin, malah telah menghampiri tembok dan menghantuk-hantukkan kepalanya sambil melaung memanggil nama Samuel.’

Keistimewaan cerpen ‘Air Mata Bonda’, kerana pengarang masih utuh mempertahankan tradisi Melayu, walaupun kita sudah moden, dan bonda Narimah di Kampung Ketapang sendiri juga tidaklah sekolot yang digambarkan dalam fiksinya itu. Di sinilah pengarang memenangkan Timur, walaupun memahami keinginan naluri dan impian seorang gadis terpelajar Melayu terhadap lelaki Barat. Dalam ‘Angin Selatan’, suasana kebosanan yang dilalui wanita tua itu (Nyai Semi) kerana kehilangan suaminya (Wan Mulia) begitu menarik dilukiskan pengarang seperti berikut:
‘Saat itu sama seperti hari-hari kelmarin dilaluinya dengan penuh kebosanan. Kalau boleh dia teramat ingin bermesra dengan lembut angin selatan, dia mahukan angin selatan mengirai-ngirai juntaian anak-anak rambutnya yang memutih menjuntai di dahi, dia teramat ingin menyedut udara angin selatan lembut dan wangi berbaukan wangi daun lalang. Wanginya yang menyelinap ke hulu jantung, memenuhi sebak dada yang sarat oleh keperitan dan kepedihan berzaman.
‘Petang itu tidak seperti petang-petang kelmarin. Tidak juga seperti senja-senja beberapa hari yang sudah. Tidak. Sebaliknya petang itu bagaikan sebuah padang pasir yang luas, lapang dan tidak berpenghuni. Ia menyediakan kesunyian, kehampaan, kepiluan, kesayuan dan menyediakan segugus air mata untuknya’. (hlm. 28- 29)

Selama 19 tahun menderita, Nyai Semi ditinggalkan Wan Mulia (kerana ditangkap pihak berkuasa, kononnya dituduh membunuh Kasim) dia terpaksa membesarkan Jelita dengan penuh manja dan kasih sayang, tetapi apabila dewasa gadis itu pula menghilangkan diri dari rumah, kerana mengikut hati mudanya. Cerpen ini sebenarnya diberikan sambungan oleh penulis dalam tajuk ‘Jelita’ (mengisahkan konflik Jelita dengan ibunya yang menuduhnya berbuat jahat dengan lelaki – akibat difitnah). Dalam cerpen ini juga masih diperlihatkan rindu Nyai Semi pada Wan Mulia, dan rindu Jelita pada ayahnya Wan Mulia, dengan episod-episod yang menarik. Lihat pelukisan berikut:
‘Nyai Semi memejamkan mata. Sungguh. Suara itu rasanya bagai baru semalam didengarnya. Desir angin dari arah selatan datang beremba-remba menyisir rambut putihnya, mengibar-ngibar kain batik lusuhnya yang tersarung lunyai. Kata-kata dan gurau senda itu bagaikan baru semalam didengarnya, gelak ketawa itu kian galak dekahnya kian meninggi…..
‘Mata itulah juga yang kerap di tengah malam merenung gelap dan bintang yang mengerdip satu-satu jauh di langit. Menantikan kepulangan Wan Mulia’. (hlm. 126-127)

Sementara kerinduan Jelita pula dilukiskan seperti berikut:
‘Jelita melangkah semula ke biliknya. Tiba-tiba perasaan rindukan seseorang yang lain menerjah ke dalam dirinya. Rindu pada seorang lelaki. Rindu pada seorang yang lebih gagah, lebih dewasa dan lebih hebat. Bapak.
‘Kalaulah bapak masih hidup tentunya dapat mententeramkan gelisah jiwa emaknya itu, fikir Jelita. Kalaulah bapaknya masih ada, di manakah dia? Kalaulah sudah mati di manakah kuburnya?’ (hlm. 130-131)

Dalam cerpen ‘Mimpi’, ada sepi yang mencengkam watak Ika (aku), kerana jemu dengan janji, dan jemu menunggu Im (kelasi) yang tidak pulang-pulang. Gambaranya seperti berikut:
‘Jawapan seterusnya hanyalah sepi walau Via cuba memujuk. Sepi merayapi dinding-dinding kamar Via. Sepi bermukim pada gelas-gelas dan botol-botol berbagai warna yang tersusun di kabinet. Jemari ia galak menuang minuman. Dia meneguk. Selepas itu kami tidak ingat apa-apa. Via ketawa. Betul-betul aku lupa. Lupa Im. Lupa mama’.
(hlm. 151)

Dalam cerpen ‘Sang Isteri’ yang mempunyai beberapa keistimewaan, pengarang melukiskan kesepian watak “aku” yang berperang dengan tindakan dan sikap suaminya, persis memperlihatkan tindakan halus wanita yang mahu membetulkan ketempangan rumahtangganya.
‘Bantal guling kudakap kuat, ingin mengongsi kehangatan yang bersalut dengan kesepian. Bantal guling itu seperti menyondol-nyondolkan kepalanya ke dadaku, ke perutku dan ke celah kelangkangku. Kudakap ia semakin kuat dan semakin rapat ke dalam tubuhku. Aku mulai merasai kehangatannya. Aku mulai merindukan belaian’.
(hlm. 170-171)

Unsur intertekstualiti yang ditemui dalam beberapa cerpen Sri Diah ini juga cukup menarik, dan ia tidak saja dijadikan ilustrasi semata-mata, malahan ada signifikannya,. Ini kerana dalam agenda lain, ia turut memberi warna dan suasana yang tersendiri dalam sesebuah teks sastera yang polisemi sifatnya. Muzik dan buku menjadi penyeri kehidupan tiap watak yang diciptanya. Dalam ‘Hujan Sore di Cipanas’, kita temui pengarang memanfaatkan beberapa lagu, antara lain yang ada kaitannya dengan unsur sepi dan kesendirian, iaitu, lagu Sepanjang Jalan Kenangan yang dinyanyikan Broery Pesulima, ketika aku dan Puan J, yang ditinggalkan suami dalam kesepian amat, berkereta menuju sebuah vila di Puncak.

Dalam ‘Duka Isril’, ada teks beberapa agama yang disinggung pengarang dan para wataknya, sewaktu permasalahan manusia dan ruang kepercayaan para watak itu dihuraikan – seperti Jesus, Krishna, Amitoba, Habil dan Qabil, dan Adam dan Hawa. Sementara di dalam ‘Air Mata Bonda’, teks Hujan Pagi (karya A Samad Said) sudah tiga hari dibaca Narimah ketika berada dalam biliknya, dalam igauan dan impiannya untuk bertemu Samuel dari Amerika. Demikianlah hakikatnya bahawa sastera membuka dirinya kepada pelbagai kemungkinan. Misalnya, melihat adanya intertekstual dan pengaruh sebagai satu fenomena. Kerana itu, ia menjadi cukup penting untuk memahami karya sebagai sebuah teks dan proses pemaknaan. Kedua-dua unsur ini menjadi konsep (bukan teori) tentang satu fenomena dan hadirnya paradoks (lihat Clayton & Rothstein, 1991; Cyrena N Pondrom, 1991, dan Friedman, 1991, 47).

Keistimewaan cerpen ‘Sang Isteri’, antara lainnya kerana kekuatan feminismenya. Bagaimanapun, feminisme yang dikuasai Sri Diah cukup berhemah. Ini kerana, ia mampu menyelinap masuk ke dalam bahasa yang halus, menggunakan pelukisan latar, watak dan pelambangan yang amat bersahaja. Sementara hati nurani wanitanya pula cukup terkawal – tidak mengeluarkan taring yang tajam dan hodoh. Sebaliknya menggunakan cakaran yang cukup ilmiah seadanya, sehingga membekas pada mereka yang mempunyai nuansa dan daya pemahaman intelektualiti yang tinggi . Jika tidak, sukarlah pembaca untuk menangkap tanda dan petanda yang mahu dikirimkannya. Apakah ini semua memperlihatkan gayanya yang tersendiri, atau kerana faktor bawah sedarnya dalam proses mengarang? Barangkali ketelitian pengarang menggunakan unsur-unsur penceritaan bentuk ini, tentu ada kebenarannya dengan teori feminis. Seperti kata Frieden, penulis wanita tidak boleh melupakan faktor biologi yang dihadapinya, seperti proses reproduksi dan tugas-tugas hakiki sebagai isteri dan ibu. (Betty Frieden, Feminie Mystique, 1963).

Banyak sosok manusia yang penuh paradoks ditonjolkan SD dalam kumpulan cerpen Janji Bulan Madu ini. Dalam ‘Duka Isril’, Lias diperlihatkan sebagai watak lelaki yang tidak berguna, malah bagi Isril, dia lebih baik menjadi haiwan sahaja. Kita dapat menangkap nama Lias itu, jika diterbalikkan atau diubah sedikit susunannya akan membawa erti yang cukup negatif – SIAL. Watak yang paradoks tidak saja terjadi pada lelaki. Wanita juga ada yang memiliki ciri-ciri ini, misalnya dapat kita temui dalam diri Puan J yang kesepian ditinggalkan suami (cerpen ‘Hujan Sore di Cipanas’). Pada suatu hari, ketika ‘aku’ mengunjungi vilanya di Cipanas, barulah ‘aku’ terperanjat apabila bosnya menjadi kekasih dan teman Puan J ketika kesepian di vila misterinya.

Ada kecenderungan yang tidak disedari pengarang (barangkali) mengenai kegemarannya mendeskripsikan suasana dan latar alam. Misalnya, mengapa ungkapan ‘angin dari selatan’ begitu disenangi pengarang yang seringkali ‘menerpa’ dan ‘menyelak pakaian wanita’? Kita akan bertanya lagi, kenapa yang ada hanya angin dari selatan, tidak daripada penjuru lain? Pertanyaan ini terjadi apabila dalam ‘Angin Selatan’, ‘Janji Bulan Madu’ dan ‘Jelita’, kita akan bertemu dengan ungkapan itu. Barangkali inilah gayanya yang tersendiri – semacam membentuk satu enigma dan mitos tersendiri akan kemungkinan yang terdapat pada ‘angin dari selatan’, yang memberi petanda kesepian, kesendirian dan kesunyian watak wanitanya, seadanya.

Impian Sri Diah dan impian pengkaji kian sama, dan kami persis bertemu. Impian SD sebenarnya amat tepu, damai dan harmoni. Sebagai wanita dia memiliki seketul hati yang murni – tidak pernah membakar ataupun terbakar semata-mata kerana dendam terhadap lelaki, atau mendendami watak lelaki yang diceritakannya, yang penuh durjana dan selalu mencelakakan wanita, serta mendominasi mereka dalam semua keadaan, suasana dan sejarah.

SD dengan impian murninya itu, cuba mengajar lelaki atau menikam kedurjanaan lelaki itu, dengan kudrat bahasa berkiasnya, dan dengan ketrampilannya yang penuh ilmiah. Maka itu, dapat pembaca membayangkan kehadiran pengarang ini, dengan kemandiriannya bagaikan dewa pembawa hujan – berdiri di langit atau di tengah manusia yang kegawatan air. Dia bisa menjadi gumpalan awan tebal cumulo-nimbus yang mengambang dan mengapung di angkasa – bersedia dengan pembenihan hujan tiruan yang amat subur – dinanti-nantikan petani yang kemarau tanamannya, atau warga kota yang kecatuan air setiap hari!

Untuk mencairkan ketulan awan yang tebal mengapung dan mengambang itu, harus dicari mata angin untuk menurunkan hujan. Apabila berlaku hujan, awan tidak lagi mengambang, tetapi hikmah hujan itu mampu mengembang tanah dan pohon-pohon yang kekeringan layu – tidak berdaun, lantas pulih semula. Demikianlah perbandingan pengkaji akan SD yang kehadirannya dalam arena sastera kita masa kini bukan lagi bersifat mengambang, tetapi dengan impiannya yang tersendiri itu, dia sudah mampu ‘mengambang’; lantas meletakkan harkat dan jatidirinya dengan sedikit kebesaran individualiti yang membanggakan kita, tentunya.

Kita yakin, andainya beliau terus prolifik dan menghasilkan karya sastera yang mampu menggugah deria dan kemampuan berfikir pembaca, namanya akan terus dikagumi sebagai penulis cereka Malaysia yang disegani (terutamanya dalam kelompok wanita) dalam menempuh abad ke-21, dan ketika masyarakat sastera Malaysia memperdebatkan fenomena dan pengaruh pascamodenisme. Baik dalam cerpen mahupun novel, SD mampu melakukannya. Misalnya, berdasarkan cerpen ‘Angin Selatan’, dan ‘Jelita’, kita melihat usahanya untuk terus mengembangkan cerpennya menjadi novel.

Pada tahap permulaan tulisan kaum feminis moden mengenai sastera, penekanan mereka lebih berunsurkan politik atau melahirkan perasaan marah mereka terhadap ketidakadilan lelaki yang mendominasi wanita dalam segala keadaan. Wanita semuanya dalam serba negative, penuh dengan rasa inferior. Penentangan terhadap sistem ini cukup jelas dalam karya SD, tetapi ia masih disembunyikan dalam nada yang lembut, sesuai dengan jiwa dan budaya Melayu. Nampaknya pengarang kita ini sealiran dengan teori Julia Kristeva ataupun Helene Cixous. Dengan mengambil teori Kristeva, SD berusaha memperlihatkan pertentangan antara sistem rasional yang tertutup dengan sistem tidak rasional, yang menganggu dan terbuka. Dalam karyanya, SD semacam mengajukan tuntutan dan keadilan atas nama wanita terhadap arus perdana masyarakat yang tidak ditekan, dan tidak menekan sebagai kekuatan yang membebaskan golongan wanita (Raman Selden, 1989. Teori Kesusasteraan Sezaman: 154-155.)

Cerpen kedua, ‘Alangkah Seksanya’, memperlihatkan rasa tidak senangnya pengarang terhadap lelaki (Latif) yang memfitnah Mazni dan Hashim dengan menggunakan wanita (Saerah). Bagaimanapun, pengarang berimbang dalam hal ini. Banyak kesalahan yang berpunca daripada sikap dengki dan fitnah itu bermula daripada kaum wanita sendiri. Malah, Mazni menganggap Saerah adalah pengkhianat di Pekan Pulai itu. Menafsir maksud seksa itu – tidak lain daripada akibat fitnah dan penyakit hasad dengki yang masih berleluasa dalam diri orang Melayu, dan menyebabkan orang tidak berdosa menerima padahnya.

Seperti pendekatan Cixous yang bersifat ramalan, SD juga turut membayangkan kepentingan dan kekuatan bahasa yang mampu melukiskan sesuatu yang ada. Atau dengan kata lain, pelanggaran hukum wacana phallocentric ini, adalah tugas khas pengarang wanita kita (Melayu?). Oleh kerana selalu bergerak dalam wacana yang dikuasai lelaki, maka wanita perlulah ‘mencipta untuk dirinya sendiri suatu bahasa untuk masuk ke dalam dirinya’. (Ibid, 156). Dalam ‘Duka Isril’ misalnya, hakikat ini agak jelas apabila watak Isril percaya bahawa proses evolusi yang cuba dia hamparkan itu, lambat laun akan berjaya. Perhatikan petikan ini:

‘Erti kemanusiaan dan penghormatan dan serba serbi terhimpun bersamanya ke muara. Tiada tanda serba salah yang didukung. Telah dia sedari Lias ketawa kerana kemenangan memperdayakannya. Sekarang bukan saja dia mahu melihat Lias menangis, malah biar terus gila!’
(hlm. 55)
Demikianlah kesan yang dapat pengkaji kutip mengenai kesunyian, kesendirian, kepiluan, keterasingan dan kesepian. Maka itu apabila membaca fiksi SD, kita mungkin berhasil mengutip maknawi frasa-frasa ini:
Dalam duka/ ada kerinduan/ ada kesendirian/ ada kepiluan/ ada keterasingan. Dalam diam/ ada kekosongan/ tetapi ada erti sunyi/ yang lebih dari itu.

Bercakap mengenai individualiti dan lebih jauh lagi individualisme, kita tidak harus melupakan matlamat utama undang-undang moral yang turut memperkembangkan keperibadian seseorang individu. Begitulah juga halnya di dalam kesusasteraan, dengan prinsip etika yang sedemikianlah yang diperlihatkan melalui perasaan, tingkah laku dan keperibadian seseorang, tentunya lebih mengutamakan sikap dan keyakinan sendiri. Di dalam menemukan dirinya dengan pelbagai impian yang di dialaminya, SD cuba membenihi citra wanitanya yang semakin matang. Ketika mengambang, dia mampu keluar dari kepompong konvensi sosial dan trendy kebanyakan pengarang wanita Melayu, yang selalu pasrah pada takdir dan kekuasaan sang lelaki. Keinginan dan mimpi murninya itu diperkukuhkan dengan sulaman bahasa, pengalaman dan bakat kreatifnya yang terus mengembang membiak untuk kita hayati bersama. Maka di dalam pengertian dan kepercayaan inilah saya menemui ‘impian’ Sri Diah itu.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home