Tuesday, April 28, 2009

Atheis dan Jalan Pulang: Suatu Perbandingan


ATHEIS DAN JALAN PULANG: NOVEL DAKWAH DAN IDEOLOGI

Oleh A Rahim Abdullah

KALAU ditanya, apakah tidak mungkin novel Jalan Pulang sebuah hipogram Atheis, dan adanya intertekstualiti, tentu akan saya jawab besar kemungkinannya. Dan alasan yang diberikan oleh Anas K. Hadimaja dalam jawaban panjangnya terhadap pendapat Alis Murni mengenai Jalan Pulang (lihat Dewan Sastera, Mac 1971) yang dia belum pernah membaca Atheis? Sedangkan novel tersebut telah pun terkenal di kalangan khalayak sastera Malaysia sejak awal 1960-an lagi? Pada tahun 1966, edisi pertama bahasa Malaysia telah diterbitkan oleh Toko Buku Abas Bandong, Melaka, dan ia digunakan sebagai teks wajib pelajar Tingkatan Enam mulai tahun 1966, di samping novel Salah Asohan?

Apapun alasan pengarang Jalan Pulang untuk mempertahankan sikapnya itu adalah haknya, walaupun teori the dead of the author boleh diguna pakai dalam konteks polemik tersebut. Kedua-dua teks ini tetap mempunyai signifikasinya yang tersendiri. Kedua-dua novel yang bersifat klasik dan semi-klasik ini juga tidak banyak dibaca oleh generasi muda hari ini sebagai model mereka mengasah bakat, dan mempelajari selok belok mengarang atau memahami dunia kreativiti. Sesungguhnya, Atheis juga berjaya dihasilkan oleh seorang hamba Allah, sasterawan yang penuh tanggungjawab untuk menyedarkan manusia, khasnya umat Islam akan bahayanya liberalisme yang sedang kita kunyah pada kehidupan masa kini.

Begitu juga dengan Anas K Hadimaja yang namanya seakan-akan nama pengarang Atheis, Achdiat K Mihardja, walaupun usia mereka berjarak 32 tahun, sementelahan pula ada anggapan yang mengatakan Jalan Pulang terpengaruh dengan Atheis, maka dalam kesempatan ini ada baiknya ia dinilai kembali pandangan Alis Murni itu (dalam Dewan Sastera, Februari 1971). Satu hal yang menyenangkan ialah adanya citra wanita yang diangkat dan diberikan makna yang positif oleh Anas, berbanding Achdiat. Dua wanita yang sangat berpengaruh dengan kehidupan mutakhir Saufi adalah citra wanita yang solehah, jauh berbeza dengan apa yang terjadi pada wanita moden Indonesia, Kartini. Ini kerana wanita Melayu dan Malaysia (Cina) itu mempunyai hasrat dan keazaman yang tinggi untuk mengislamkan semula suami Melayunya itu.

Ada beberapa hal yang tidak pernah saya fikirkan ketika membaca Atheis 40 tahun lalu. Pertama soal teknik kepengarangan, atau pembahagian bab yang dilakukan Achdiat. Sebagai pelajar waktu itu, saya juga gagal membaca dan memahami ‘Apa kata Kritikus Asing’ pada blurb novel ini, terutamanya oleh Prof. A.H. John, dan pendapat Prof. A. Teeuw dalam bukunya Pokok dan Tokoh (1958) yang memberikan apresiasi paling tinggi untuk novel tersebut. Pada tahun 1968, Achdiat yang bertugas mengajar di Australia National University, tentu berbangga kerana novel Atheis menjadi subjek tesis N.J. Gorton, isteri Perdana Menteri Australia yang fasih berbahasa Indonesia (Taufiq Ismail, 1968 dan 2008: 418). Persoalan kedua, mengenai pengarang yang implisit, atau masih ada kaitannya dengan persoalan teknik ketukangan novel ini. Kekuatan roman atau novel ini yang kaya dengan hakikat yang implisit dengan unsur subteksnya itu, tidak pernah pun terfikir oleh kami, dan tidak pernah pun bertanya, siapakah ‘saya’ di dalam teks itu? Apakah pengarang atau orang lain? Siapa pula Hasan yang diceritakan ‘saya’ itu? Tetapi pengarang juga menafikan kebenaran nama Hasan ini. Untuk itu diperturunkan pernyataan pengarang yang penuh ketaksaan ini:

‘Ia bernama Hasan…(tapi baiklah saya ceritakan sekarang saja, bahawa itu sebenarnya bukan nama benarnya, dan juga orang-orang yang bersangkutan dengan dia, yang nanti akan ternyata kepada kita dari sebuah naskah yang diberikannya kepada saya, bukanlah Kartini, Rusli, Anwar dll., melainkan mereka itu mempunyai nama yang lain sekali. Tapi biasa saja di dalam cerita ‘Dichtung und Wahrheit’ seperti yang dibikin Hasan itu, nama-nama benarnya diganti dengan nama lain).
(Atheis, 1966: 6)

Hal yang sama diulangi pengarang pada bahagian XII (I), dengan beberapa komentar yang mendekatkan lagi hasrat dan ideologi pengarang dalam teknik naratifnya. Perhatikan petikan ini:

‘Saya renungkan sebentar isi naskahnya itu.

Dalam pada itu ingin sekali saya berkenalan juga dengan orang-orang yang ada di sekitar pergaulannya itu, dengan orang-orang yang dalam naskahnya itu diberi nama Kartini, Rusli dan Anwar.’
(Ibid.: 181)

Pernyatan pengarang di atas adalah satu teknik ketukangan dalam menimbulkan suspens dan keraguan pembaca, sehingga pembaca mempercayai wujudnya kebenaran (bukan fiksi) terhadap empat watak penting dalam Atheis itu sendiri. Sama ada pengarang berjaya atau tidak berjumpa dan menemui tiga lagi watak tersebut (selain Hasan), ia bukanlah hal yang penting di sini. Apa yang hendak ditonjolkan Achdiat adalah ideologinya. Seperti yang kita maklumi, ideologi adalah usaha menetapkan makna dan pandangan dunia yang mendukung penguasa. Peta-peta makna walaupun kelihatannya sebagai kebenaran universal, sebenarnya ia adalah pemahaman secara historis yang menyelubungi kekuasaan kelompok sosial tertentu.

Dalam hal ini, ia ada kaitannya dengan kelas, status dan agama. Dalam kaitannya dengan ideologi beragama itu juga, ia kelihatan terjelmanya ironi. Apa yang dapat kita tanggapi mengenai ironi ialah sebagai pemahaman reflektif mengenai kontingensi (kesementaraan atau ketidaktetapan) nilai-nilai dan budaya seseorang, mungkin sahaja akibat berlakunya krisis moden (Chris Barker, 2005: 515).

Petikan pada halaman 6 dan 181 teks ini juga, dapat diterjemahkan sebagai stail kewartawanan yang pada masa kini sangat lazim dikerjakan wartawan, baik di media cetak mahupun media elektronik (TV). Dengan ini dapat dikatakan, aspek naratif Atheis bergerak pada landasan gaya kewartawanan baharu? Suara pengarang (author’s intrusion) yang dimasukkan dalam kurungan itu juga menjadi batas dua hal yang bakal dinaratifkan pengarang dalam teks ini. Pertama, dunia Hasan (dunia fiksi) dan dunia pengarang sendiri (nonfiksi). Oleh kerana kita (pembaca) diberikan penanda kepada konsep dan pemikiran yang saling berbaur, maka jelaslah bahawa Atheis adalah sebuah novel yang sarat dengan ideologi. Dengan kata lain, pembaca Atheis sebenarnya membaca dua buah teks sekaligus – teks yang fiktif dan teks yang nonfiktif sifatnya. Dengan itu, Atheis kelihatan sangat tebal dengan unsur semiotik. Ada perlawanan makna denotasi dengan konotasi, dan ada pertentangan antara konsep dan tanda di dalamnya.

Ungkapan atau dialog Rusli pada Bahagian 1, ketika berbicara pada Kartini yang baru dibebaskan dari kurungan tentera Jepun: “Umur manusia singkat, tapi kemanusiaan lama… bekerja untuk kemanusiaan” (hlm. 4) mengajak kita berfikir. Apakah ungkapan ini sekadar tidak lebih daripada sebuah retorika? Atau ia berbicara sebagai sebuah ideologi? Dan jika ia berkaitan dengan ideologi, sudah tentu ada hubungannya dengan watak Hasan (yang oleh aku @ pengarang – Hasan itu pun bukan nama sebenarnya) sebagai seorang ‘pencari’. Tetapi sayangnya, dia bukan seorang pencari yang baik atau serius. Yang jelasnya, sosok tokoh Hasan ini seorang penulis – pengarang yang celaka (sarkasme bunyinya bagi orang Melayu, kerana ada sedikit kekasaran dari segi makna kata ‘celaka’ itu apabila dikaitkan dengan nuansa Melayu?). Hal ini dialami sendiri oleh Hasan yang mengidap penyakit tbc, ketika berkunjung ke rumah aku @ pengarang pada suatu malam. Penjelasan oleh Hasan itu diperturunkan sepenuhnya:

“Sebetulnya bung, saya ini seorang yang sungguh celaka. Celaka karena saya ini seorang yang sangat besar punya hasrat untuk mengarang, tapi tak ada sama sekali bakat atau kepandaian untuk itu. Saya ingin sekali pertolongan dan nasihat saudara. Itulah maka saya bawa karangan ini sekadar suatu percubaan, dan penuh harapan saya mudah-mudahan saudara mahu menolong memeriksanya dan menerangkan segala kekurangannya.” (Bahagian II, II. Ibid: 7).

Mulai Bahagian III, pembaca sebenarnya sedang berdepan dengan teks atau karangan Hasan, baik sebagai pencari ataupun pengarang, karyanya itu dikatakan bersifat autobiografikal – Hasan anak Wiradikarta, seorang bekas guru yang sudah pencen tinggal di lereng gunung Telaga Bodas, di tengah-tengah Pergunungan Priangan yang indah. Kalau karyanya itu sebuah autobiografi, ia bukanlah karya fiksi seratus peratus, tetapi nonfiksi. Ertinya Achdiat tidak lagi berbicara mengenai karya fiksi di dalam Atheis. Ini kerana sifat karya yang serius tidak mungkin dapat diperkukuhkan oleh teks fiksi semata-mata. Sebuah ideologi lazimnya bertolak dari sebuah kerangka realiti. Persoalan Atheis juga adalah persoalan besar yang berkaitan dengan krisis nilai, fenomena sosial yang primer ruang lingkupnya yang bergerak dalam kerangka pemikiran kreatif yang besar.

Persoalan sama ada atheis ataupun percaya akan kewujudan Tuhan juga adalah persoalan mengenai ideologi manusia yang tidak harus dilihat sebagai hal-hal yang sekunder. Justeru, ia sebuah ideologi yang dilihat sebagai sebuah malapetaka dari kacamata orang yang beragama. Pengarang melihat bahaya atheis kepada umat Islam yang dangkal imannya, biarpun dia anak seorang alim – guru agama, tetapi dengan mudahnya ideologi sesat boleh meranapkan akidah Islamiah seseorang. Itulah bahayanya Hasan yang sifatnya sebagai ‘pencari’ yang tidak serius, apatah lagi akibat pergaulan (fenomena sosial) bebas dengan orang-orang yang anarkis seperti Anwar, Rusli dan Kartini!

Novel Jalan Pulang mendahului karya-karya lain di Malaysia yang sezamannya apabila berwacana mengenai ideologi politik dan Islam melalui watak protagonis Drs Ahmad Saufi, ahli politik yang mendapat pendidikan dan pengaruh politik di Indonesia. Dia cukup tebal dengan sosialisme, seolah-olah tidak dapat menerima ideologi Islam yang dilihatnya tidak sesuai menjadi pemangkin kemajuan orang Melayu yang baru mencapai kemerdekaan. Saufi yang menjadi pemimpin Parti Wataniah, sebelumnya mengetuai Parti MURBA (sayap Parti Kemajuan Rakyat Malaya – PKRM) tebal dengan ideologi sosialis. Sebelum itu, Saufi juga yang pernah menjadi guru sementara di Ipoh, sebelum memasuki Maktab Perguruan Sultan Idris sehingga tahun dua tetapi berhenti, disebut pengarang sebagai seorang pencari. Hal ini terdapat pada Kesimpulan. Dan yang agak menarik dalam Jalan Pulang ini ialah peranan isteri yang menjadi pemangkin mempengaruhi sang suami untuk membawa jalan pulangnya kepada Islam, setelah dianggap atheis, murtad atau kafir. Dalam hal ini, jelaslah betapa citra Ana Salwa berbeza dengan citra Kartini (isteri Hasan) dalam Atheis yang menyesatkan Hasan. Ana Salwa adalah isteri yang solehah. Dialah (anak Encik Karim, guru bahasa di Sekolah Inggeris Telok Anson) semasa Saufi sakit selama sebulan di hospital selepas ayahnya meninggal selalu datang menghantar makanan kepadanya. Ana Salwa berjaya menyelamatkan Saufi daripada terus jadi sosialis dan free-thinker. Hal ini dilukiskan pengarang seperti berikut:

‘Benarlah seperti kata Kiai Matmun, “Allah saja yang sesungguhnya tahu hati yang mana yang Islam dan hati yang mana yang kufur!”
Dipandangnya Ana seketika dan dia menghela nafas panjang. Terasa bagai hendak dikatakannya – jangan bimbang Ana, sekarang aku Islam. Islam tulen, hasil pencarianku sendiri. Aku mengkaji Islam ini sejak aku masih sesat dahulu lagi. Allah telah mempertunjukkan aku dengan hidayah-Nya!
(Kesimpulan: 29-30)

Perbezaan hubungan watak Hasan dengan ayahnya dalam Atheis, dan Saufi dengan ayahnya dalam Jalan Pulang agak ketara. Ayah Hasan mati setelah Hasan menjadi atheis dan berkahwin dengan Kartini. Sedangkan ayah Saufi (juga orang alim dan kaya di kampung Sungai Nipah) mati ketika Saufi bersekolah menengah. Ketergantungan Hasan pada ayahnya tidak sama dengan ketergantungan Saufi pada ayahnya. Pengalaman masa lalu kedua-duanya terhadap orang tua masing-masing sangat menarik. Pengalaman masa lalu Hasan terhadap ayahnya yang pernah mendidiknya dengan ajaran agama dan tarekat itu menghantui kehidupan masa kininya hingga ke saat Hasan ditembak tentera Jepun. Hasan menyesal amat sangat kerana berdosa menjadi anak derhaka terhadap ayahnya, seorang guru tarekat yang amat dihormati masyarakat setempat. Penyesalan Hasan terhadap keputusannya mempertikaikan kewujudan Tuhan itu sampai ke akhir hayat.

Sebaliknya kematian ayah Saufi (Haji Sulaiman) semasa dia di sekolah menengah dalam tahun 1950-an itu menjadi titik tolak kepada hidupnya yang berubah daripada masa lalu, dari yang baik pada yang buruk. Dia dikatakan sakit jiwa kerana terlalu sedih dengan kehilangan ayahnya yang menjadi pendorong kepadanya selama ini. Perangai Saufi mulai menjadi pemurung, suka menyendiri dan tidak lagi berminat pada pelajaran, tetapi lebih mengikut kata hati, dan jatuh ke dalam dunia seni. Saufi mulai gemar dengan kisah duka nestapa, terutamanya filem Hindustan, bermula dengan filem Mehman, muzik benua Hindi itu begitu secocok dengan jiwanya. Pada Saufi, selama ini ayahnyalah tempat dia mengadu hal dan membiayai persekolahannya. Tetapi setelah pekebun kelapa itu meninggal dunia, Saufi merasakan dia terasing dari kaum keluarga. Akhirnya anak yatim piatu itu mendapat demam panas hampir sebulan terlantar di hospital. Semasa tinggal di asrama, dia menjadi ketua pelajar yang dibelenggui oleh kemiskinan. Wang yang dihantar oleh ayah kepadanya tiap bulan untuk membayar yuran digunakan oleh abang Latifnya untuk berpoya-poya. Akhirnya kedua-duanya bergaduh mengenai pembahagian harta pesaka yang tidak adil, dan kemudiannya Latif juga bernikah dengan Hana, sepupu dan tuning Saufi semasa kecil untuk membalas dendam terhadapnya.

Ayah Saufi walaupun orang kampung yang terpinggit di Sungai Nipah, tetapi mempunyai akal yang cukup sihat dan terbuka mindanya. Dia mahukan Saufi belajar di sekolah Inggeris di Telok Anson dengan alasan yang cukup positif. Di sinilah pengarang (disedari ataupun tidak) memperlihatkan ideologi pascakolonialisme yang agak menarik. Saufi mempersoalkan kenapa guru-guru di sekolahnya yang mendapat pendidikan Inggeris itu berlagak lebih daripada orang Inggeris sendiri? Alasan si ayah yang menghantarnya belajar di sekolah Inggeris itu dikatakan seperti berikut:

“Orang putih itu penjajah. Guru-guru itu diasuh dan dididik dengan tabiat penjajah. Kerana itu kau kuhantar bersekolah Inggeris supaya pada suatu masa nanti, kau boleh beritahu orang Inggeris itu bahawa engkau pun manusia juga, macam orang-orang putih yang menjajah bangsa dan negara kau. Jangan kau terperanjat Saufi, apabila merdeka negara kita nanti, orang-orang putih celup itu yang akan dapat nikmat kemerdekaan lebih daripada kita, orang-orang kampung yang menggadaikan nyawa untuk memerdekakan negeri ini.”
(Bab Pertama, Bahagian 1: 91)

Dakwah Anas K. Hadimaja dalam Jalan Pulang ada dua hal penting, yang mengingatkan khalayak terutamanya mereka yang beragama Islam. Pertama bagi manusia yang diamanahkan Tuhan untuk menjadi pemimpin, bahawa mereka tidak boleh berkompromi atas nama Islam dan hukum Tuhan. Yang kedua, Anas juga berpesan kepada seniman, pengarang dan penyair yang dianugerah bakat besar dan ilmu oleh Tuhan, supaya tidak mengasut dan menyesatkan orang melalui karyanya atas kepentingan materialisme, duniawi dan politik yang rakus dengan kekuasaan. Dua tanggungjawab besar ini terpikul ke atas bahu manusia yang bernama Saufi.

Sebagai aktivis politik, Presiden Parti Wataniah, Saufi juga sebelumnya seorang pengarang yang kritikal dan mendapat tempat di akhbar untuk menyalurkan ideologinya yang sesat dan cuba membawa nafas pembaharuan kepada orang Melayu yang beragama Islam, walaupun dia pernah mendapat pendidikan Islam sebelumnya (sepertimana watak Hasan dalam Atheis), Saufi juga sangat patuh kepada ajaran dan nasihat ayahnya, tokoh yang dihormatinya. Tetapi setelah ayahnya meninggal, dia mendapat tekanan – dikatakan sakit jiwa itu menyebabkan dia jadi murung, tidak suka pada pelajaran, dan hanya lulus pangkat tiga Senior Cambridge!

Bahaya liberalisme, modenisme dan komunisme yang dilihat oleh Anas telah dan sedang terjadi dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia pada pertengahan 1960-an dahulu. Anas dapat menghidu permasalahan ini, dan jika dibandingkan dengan krisis yang terjadi 40 tahun kemudian (katakanlah mulai 1980-an hingga 2008) ia sudah menjadi satu malapetaka pada sistem sosioekonomi dan sosiopolitik orang Melayu. Sekarang faham liberalisme telah mendapat tempat yang istimewa dalam kehidupan orang Melayu, baik golongan elit mahupun para pemimpin Melayu yang banyak menyeleweng, mengamalkan rasuah, dan sanggup melakukan apa sahaja demi menyelamatkan status-quonya. Malahan dalam soal agama, mereka juga sanggup berkompromi, kononnya agama Islam agama rasmi, tetapi untuk melaksanakan hukum-hukum Islam seperti mana perintah Tuhan, mereka memberikan banyak dalih dan alasan. Apabila seseorang Islam itu menolak undang-undang dan hukum Islam, maka dia dianggap fasiq dan munafiq.

Justeru dalam hal ini, sikap nonkompromi Anas terhadap persoalan maha penting ini harus dikagumi. Obsesi pengarang terhadap fenomena yang sedang mengancam kehidupan orang Melayu Islam di Malaysia hari ini, terpancar dalam pandangan-pandangan kritisnya pada bab Kesimpulan novel ini, yang dijadikan permulaan cerita (halaman 1-82). Kebimbangan Anas itu dapat kita tangkap menerusi beberapa pertanyaannya dari beberapa hal yang gagal diatasi oleh umat dan pemimpin Islam sendiri. Antara lainnya, suara protes pengarang dengan gaya ironi dan retorik sindiran tajam ini, sering dibangkitkan oleh Drs. Ahmad Saufi itu:
“Kembang biaknya orang-orang Malaysia berhati komunis kerana orang membelakangi ilmu-ilmu yang boleh mengenalkan manusia kepada Allah. Kebanyakan orang mengenal Allah berdasarkan pengenalan yang mampu diberikan oleh kitab perukunan yang serba kuno itu, sehingga orang sudah puas hati, bahawa seseorang itu sudah betul-betul Islam kalau sembahyang lima kali, kalau sudah fasih mengucapkan kalimah syahadat, sekalipun orang tahu juga bahawa iblis sendiri pun pandai sembahyang dan pandai membaca Quran,” katanya.
Dikatakan juga bahawa kita membiarkan masyarakat terus memilih iblis menjadi imam untuk memimpin sembahyang kita, sehingga sebarang katanya tidak dibantah, lalu berleluasa dia mengatur dan menyusun kehidupan kita, semata-mata kerana kita tidak kenal dan tidak sedar, bahawa iblis itu telah meresap ke dalam jiwa tokoh-tokoh kita.
(Kesimpulan: 43)

Sebagai pendakwah, dan pendokong ideologi bagi merealisasikan undang-undang Islam di negara ini, di samping pentingnya sifat tauhid kepada Allah, Anas terus memperjuangkannya. Begitu juga dengan hal-hal yang bersifat ghaib, yang mungkin akan ditepis oleh golongan Islam liberal sebagai sesuatu yang mustahil terjadi. Hal ini terus dikembangkan Anas dalam novel Muhammad Akhir (Penerbitan Sarjana (M) Sdn Bhd, 1984, 248 halman). Apabila manusia yakin dengan kewujudan Allah, maka mudahlah ia mengenal-Nya. Inilah sebahagian keyakinan yang masih melekat di dalam hati Saufi, hasil pengajiannya dengan Maulana Syeikh Hussain al-Futoni: “Allah ialah kewujudan yang tidak dapat dipandang dengan mata jasad. Hendaklah engkau terang, engkau sucikan mata rohaniah kamu untuk mencuba-cuba melihat kewujudan Allah, dengan izin-Nya.”
(Kesimpulan: 19).

Nawaitu Achdiat dan Anas (barangkali) dengan harapan tinggi bahawa, jangan ada pengarang-pengarang yang hanyut seperti yang diberi peringatan oleh Allah SWT dalam Surah As-Syu’ara. Sebaliknya yang menjadi harapan bangsa dan agama adalah pengarang-pengarang yang memperjuangkan kebenaran – mengalahkan kebatilan. Dengan itu juga pengkaji, tanpa ragu-ragu untuk meletakkan Atheis sebagai sebuah novel moden Indonesia yang kuat nilai dakwahnya, di mana khutbah dan propagandanya ternyata halus. Justeru novel ini kaya dengan subteks dan ciri-ciri estetiknya.

Kejayaan Atheis dikatakan terletak pada hampir semua unsur strukturnya. Latar alam yang terjadi di daerah Pasundan, dengan pelbagai tradisi keagamaan seperti pasentren, menjadi unsur yang mendukung perkembangan watak utamanya, Hasan. Lelaki ini dilahirkan di desa Panyeredan, tetapi dibesarkan dalam asuhan dan suasana keagamaan yang ortodoks. Ayah dan ibunya adalah penganut aliran tarekat. Sebagai teman sepermainannya, ayahnya mengambil anak yatim bernama Fatimah. Pendidikan akhlak sejak kecil, kisah mengenai cerita syurga dan neraka sangat melekat di benak Hasan sehinggalah dia berpindah ke kota Bandung untuk meneruskan persekolahan Mulo.

Tamat pelajaran Mulo, Hasan bekerja di Jabatan Air Kotapraja, Bandung. Pada waktu itu dia sudah pun menjadi murid setia tarekat ayahnya. Apa yang menariknya, pembabitan Hasan dengan tarekat itu disebabkan keinginannya untuk melupakan Rukmini, gadis lulusan SKP yang menjadi buah hatinya, tetapi kemudiannya telah berkahwin dengan saudagar dari Jakarta. Semasa mengasingkan diri dari masyarakatnya (apabila mengikut tarekat itu) suatu hari datang Rusli, temannya semasa kanak-kanak ke tempat Hasan bekerja. Pertemuan yang tidak diduga itu cukup istimewa buat Hasan. Tetapi yang mendambak dan menggoda keimanannya, Rusli datang bersama Kartini, yang memiliki paras rupa seperti Rukmini!

Sejak pertemuan itu, Hasan hidup dalam dunia yang penuh berombak. Dunia-akhirat, syurga dan neraka, mulai berbaur apabila melihat perlakuan Rusli dan Kartini. Dalam kacamata Hasan, Rusli yang murtad atau kafir itu terlalu bebas. Kartini pula, janda muda bekas isteri seorang tua keturunan Arab itu, terlalu moden. Hasan pun berazam memperbetulkan kehidupan mereka yang terpesong itu. Namun, niatnya itu terhalang kerana Rusli yang tahu banyak perkara, terutamanya mengenai materialisme dialektika, selalu menggunakan fikiran rasional dalam segala hal. Jadi, Hasan agak terbatas untuk berdepan dengan manusia arnakis itu. Tambahan pula Rusli selalu berkhotbah kepadanya. Keakraban Hasan dengan Rusli dan Kartini itu secara perlahan-lahan dapat menggoyah keimanannya yang pernah dipegang dan dipertahankannya selama ini.

Entah macam mana, muncul pula Anwar yang anarkis, menyebabkan Hasan benar-benar terbongkar segala keimanannya. Dan yang lebih buruk lagi, akibat hubungannya dengan Anwar, Hasan sanggup menentang ayahnya. Penentangannya itu diperkukuhkan lagi oleh keputusannya untuk mengahwini Kartini. Kedatangan Fatimah, adik angkatnya ke Bandung bertemu Hasan untuk memberitahu keadaan ayahnya semakin tidak sihat (akibat pertengakaran dan keputusan Hasan berkahwin dengan Kartini) telah terserempak pula dengan Anwar semasa kedua-duanya berbincang di sebuah restoran. Tetapi Anwar yang menaiki kereta kuda pada waktu itu, pura-pura tidak nampak. Hasan mengesyaki Anwar telah menulis surat layang kepada Kartini. Sejak itu hubungannya suami isteri menjadi tegang. Dan keadaan ini memberikan kesempatan kepada Anwar untuk mendekati Kartini. Hasan yang mendapat penyakit tbc itu juga semakin murung dan sentiasa berperang dengan perasaan cemburu, amarah dan sub-consciousnessnya. Ia bertarung dengan nafsu-nafsi dan dan pernah bertekad untuk membunuh Anwar kerana mendampingi isterinya, Kartini. Surat ayah Hasan dan surat layang menjadi punca perbalahan, krisis rumahtangga Hasan dan Kartini yang terbina sejak sembilan bulan lalu.

‘Surat itulah pangkal mula perselisehan dan percekcokkan yang terus menerus antara kami. Pangkal mula neraka yang sekarang sedang membakar aku.

“Surat itu sebetulnya surat yang sudah lama umurnya, yang bertanggal kurang lebih tiga bulan yang lalu. Ditulis oleh ayah kepadaku. Dan maksudnya, mencela perkahwinanku dengan Kartini. Mencela dengan terlalu tajam dengan mengemukakan pula keburukan-keburukan yang mengenai diri Kartini, yang entahlah, dari jempol mana dihisapnya, atau dari lidah busuk siapa didengarnya. Umpatan-umpatan ayah itulah rupanya yang sangat menyakiti hati Kartini. Luka seakan-akan hati Kartini.

“Dalam surat itu diajukan pula sekali lagi diri Fatimah, yang katanya dengan ‘sabar masih menunggu-nunggu’ aku, dan yang kata ayah ‘sesungguhnya perempuan yang sederjat dan setingkat’ untuk menjadi jodohku’.
(hlm. 165-166).

Surat itu dijumpai Kartini dalam buku Hasan pada suatu hari. Sepatutnya Hasan sudah pun membakar surat tersebut. Peristiwa surat itu ditambah lagi dengan suatu peristiwa lain pula:

Segala daya-upayaku untuk meyakinkan Kartini tentang kebohongan Juga surat. Kali ini surat anonym. Dalam surat anonym itu aku difitnah telah ‘diketemukan’ dalam sebuah hotel Tionghua dengan Fatimah. Fitnah tersebut tidak berhasil benar, sebab walaupun Kartini pada prinsipnya (ertinya menurut pengakuannya sendiri) tidak mahu percaya dan mahu menaruh sesuatu penghargaan kepada sebuah surat buta, namun rupanya ia berpegang pula kepada peribahasa ‘tidak ada asap, kalau tidak ada apinya’
(hlm. 166).

Pada Bahagian XII (hlm.163-180) adalah teks yang dikisahkan oleh Hasan. Jika dikaitkan dengan konsep ideologi, pada bahagian ini juga ada beberapa peristiwa penting yang dapat dikaitkan atau ia menjadi penting dalam usaha pengarang menyampaikan pesannya. Hasan menjelaskan bagi permulaaan naratifnya sebagai berikut:

Waktu beredar terus. Dan tak bosan-bosannya manusia menghitungnya. Hari dijumlahnya menjadi minggu. Minggu dikumpulkannya menjadi bulan. Bulan ditambah-tambahnya, sehingga genap menjadi tahun, dan seterusnya.
Manusia suka menghitung waktu dan seluruh hidupnya dikuasai oleh waktu. Dan alam membantu manusia dalam kesukaannya…. Sebagai manusia, aku pun suka menghitung waktu…kusobekkan satu halaman dari kalender. Lagi satu bulan umurku tambah. Lagi satu bulan dunia lebih dekat pada saatnya untuk ‘diam’. Untuk ‘diam’, sebab tidakkah dunia pun seperti gasingan yang berputar pula, yang pada akhirya akan habis putarannya, lantas ‘diam?’

1 Oktober!
Kuhitung dengan jari: Februari, Marc, April, Mei, Jun… tiga tahun setengah kira-kira sejak 12 Februari 1941. Sejak aku kahwin dengan Kartini.

Dan yang aku khuatirkan sangat, ialah bahwa ia akan berbuat yang lebih buruk lagi dari itu sebagai akibat juga dari tidak adanya batas yang tegas tadi itu. Itulah, maka aku tetap curiga terhadap Anwar itu, dan tidak suka aku melihat isteriku bergaul dengan dia.

Sungguh banyak kejadian-kejadian di dalam tempo empat puluh bulan itu. Juga kejadian-kejadian yang meliputi diriku dan diri Kartini. Kejadian-kejadian yang seolah-olah mau menyesuaikan diri dengan kejadian-kejadian dalam politik dunia, yang makin hari makin hebat, genting, dan pada akhirnya memuncak pada mencetusnya api peperangan: Perang Dunia II. Perang Dunia II yang menyapu bersih negara-negara kecil dari muka bumi ini, yang mengaduk-aduk dan menginjak-injak benua Eropah dan Asia dengan sepatu Hitler, Mussolini dan sepatu Tenno Heika, untuk pada akhirnya (melihat gelagatnya sekarang pun sudah mulai) mempersilakan palu-arit Rusia menebang kaki-kaki tersebut menggodamnya sampai hancur, bersama-sama dengan Uncle Sam yang mengikat dan mencekik leher ketiga diktator itu dengan ‘Stars and Stripes’nya.
(hlm. 163-164)

Daripada beberapa petikan tadi (yang dilahirkan oleh pencerita, Hasan), kesinambungan ideanya dapat kita lihat pada Bahagian XIII (halaman 181-196) yang teksnya disapa atau ditulis oleh pengarang (saya). Dalam subbahagian 1 (hanya satu halaman sahaja), pengarang menghabiskan bacaan teks (auobiografi) oleh Hasan pada jam tiga malam (pagi). Pengarang kemudiannya menyoal diri sendiri tentang perwatakan dan pencarian Hasan yang sedang menghidap penyakit tbc itu. Dengan kata lain, pengarang amat bimbang dengan keyakinan (agama/ akidah) yang ada pada manusia Hasan itu. Selepas itu, pengarang memberikan subbahagian II yang lebih panjang (halaman 182-194). Hal ini dijelaskan Achdiat, antara lainnya seperti berikut:

‘Jelas kepadaku, bahwa di samping bimbang karena belum ada keyakinan yang teguh perihal kepercayaannya terhadap Tuhan, Hasan itu terdampar-dampar pula oleh perasaan-perasaan cemburu dan complex-complex lain terhadap Anwar, Rusli dan Kartini. Dan ia sangat romantis sifatnya. Lebih mudah dibawa mengalun oleh gelombang perasaan daripada dibawa mengorek-ngorek sesuatu soal oleh fikiran sampai habis kepada dasarnya yang sedalam-dalamnya.

Kusimpan naskah itu baik-baik dalam laci meja tulisku. Sambil memutar kunci laci itu, yakinlah saya, bahwa saya pun sanggup untuk mempengaruhi Hasan yang bimbang itu. Saya sanggup mempengaruhinya seperti orang-orang yang diceritakannya dalam naskahnya itu. Saya sanggup membimbingnya ke arah sesuatu tujuan menurut faham saya sendiri.
(hlm. 181)

Di sini dapatlah kita fahami, bahawa pengarang juga sebenarnya sedang memperjuangkan ideologinya sewaktu membaca teks yang ditulis Hasan itu, sebagai usaha menyelamatkan pemuda itu, langsung membawanya kembali ke pangkal jalan (Islam). Walaupun pengarang tidak memperjelaskan atau memberikan hitam putih atas nama ideologi (agama Islam), tetapi secara penuh berhemah, dia sekadar beranalogi dengan tiga lagi kawan-kawan Hasan yang telah mempengaruhi kehidupan Hasan itu, maka ‘saya’ (pengarang) juga sanggup berbuat demikian mengikut ideologi, cara atau kaedahnya sendiri. Hal ini akan terjawab juga apabila pada kunjungan Hasan ke rumah ‘saya’ yang berikutnya, diperlihatkan pengarang bagaimana Hasan mengetahui kematiannya telah dekat, juga istilah atheis pertamakali disebut ‘saya’ kepada Hasan supaya dia (sebagai seorang atheis) tidak perlu takut kepada kematian. Episod II Bahagian XIII ini adalah bahagian terpenting dengan wacana novel ini. Saya kira inilah bahagian ideologi teks ini, sama ada Hasan masih Islam ataupun seorang atheis. Perhatikan petikan ini:

“Atheis?” (tiba-tiba bunga layu itu tegak kembali). “Dari siapa saudara tahu saya atheis?”
“Dari naskah saudara, kan?”
“O ya?” Mengheos suaranya seperti hembusan uap kereta api yang menghilang.

“Kenapa saudara bilang, bahwa seorang atheis tidak boleh berperasaan takut?”
“Itu kan logis! (mengerling sedikit ke dalam matanya yang penuh dengan pertanyaan). “Seorang atheis tidak percaya kepada adanya Tuhan. Jadi dengan sendirinya ia menyangkal akan adanya hukum-hukum Tuhan, baik yang berupa rahmat dan anugerah, maupun yang berupa siksaan.”
Saya tidak lanjutkan bicaraku. Memberi kesempatan kepadanya untuk berfikir. Tapi rupanya ia tidak berfikir. Atau lebih tepat lagi, tidak berfikir tentang ucapanku itu, sebab dengan tidak mengubah sikapnya ia bertanya pula:
“Saudara percaya kepada neraka?”
Pertanyaan itu tak kusangka-sangka sama sekali, sehingga beberapa jurus saya lihat pada sinar matanya hasrat untuk mengetahui benar-benar bagaimana pendapat saya tentang hal itu…
“Sebagai atheis, saudara sendiri tentu tidak percaya, bukan?” Rupanya karena perkataan atheis itu, bunga layu itu dengan tiba-tiba sudah berubah menjadi seekor ular kobra yang tegak mendesis-desis hendak menggigit.
(hlm. 183)

Dialog mengenai kewujudan Tuhan dan atheisnya Hasan dengan pengarang dalam Atheis, juga terjadi dalam Jalan Pulang. Antara lainnya dialog Saufi dengan Ah Leong (kekasih dan isterinya) di Sungai Bernam, semasa mereka pergi berkelah, dan antara Saufi dengan Tuan Haji Salleh, Tuan Zainol dan Encik Husein di MPSI Tanjung Malim.

1. “Kalau Tuhan ada, dia mesti bertimbang rasa. Tuhan mesti tidak merampas bapak aku… emak aku… emak engkau juga, malah kekasih… kekasih aku… dan…,” mengeluarkan sapu tangan lalu mengesat peluh di dahinya.
Mengapa Tuhan adakan perbezaan antara manusia? Mengapa tidak manusia hidup sama senang, sama susah? Mengapa bapak kau yang makan babi, menyembah berhala itu kaya dan aku tidak? Mengapa cita-cita kawan-kawan aku sampai? Mengapa cita-citaku tidak? Aku sudah berusaha, aku sudah bercekang mata! Membaca buku macam orang lain, malah lebih lagi... aku waktu itu sujud menyembah Tuhan lima kali satu hari, aku sering… tapi… apa yang kudapat sekarang, ha? Kautengok? Kautengok orang-orang Islam di negara ini… apa yang ada pada mereka? Dan kautengok bangsamu…Cina, India… orang Eropah… kaya-kaya belaka, dia orang tidak menyembah Tuhan, tidak Islam… Apa lebihnya mereka? Dan, apa kurangnya aku? Bangsa aku yang Islam ha?... di mana keadilan Tuhan itu, kalau betul-betul dia memang ada, hah…? Aku jemu, aku bosan, aku menyampah…!” Senyap sejenak memerhatikan reaksi lawannya dengan nafas kencang berkejaran…wajahnya dirasuk setan…

“Apa… kau… ateiskah, Saufi?” rungut Leong terketar-ketar. Dan Saufi meludah.
“Aku tidak tahu apa! Yang aku tahu… aku pun manusia juga, punya hati, punya perasaan. Dan aku ingin ria, ingin senang, ingin bahagia, ingin ketawa, tersenyum, dan menikmati segala nikmat. Aku tidak mahu berpura-pura Ah Yong, sebab selama ni aku sudah kenyang berpura-pura. Hati aku selalu resah, gelisah, gundah, bimbang entah apa-apa lagi! Akan tetapi kau…kau tidak pernah tahu. Kau minta aku berterus terang. Dan aku sudah, tapi kau marah, kau benci aku!”
(Bab Kedua, Bahagian 9: 401-403)

2. “Saya tidak berniat hendak menghina Pak Haji Salleh, saya juga tidak marahkan Tuhan, sebenarnya. Sebenarnya…”

“Sebenarnya, saya tidak tahu, manakah Tuhan yang saya marah itu? Pak Haji… Tuhan…? Tuhan itu apa?” keluhnya lantas tunduk bertongkat dagu di jendela.
(Bab Kedua, Bahagian 11: 444)

Sudut pandangan serba tahu digunakan dengan lancar oleh Anas K Hadimaja sepanjang penceritaannya dalam Jalan Pulang. Gaya bahasanya mudah lebih mirip dengan stail naratif novel popular. Tetapi terdapat satu gaya khas untuk menyebutkan atau menggunakan konsep kala, iaitu penggunaan angka tahun yang tidak dipenuhkannya (disengajakan?). Misalnya, zaman Saufi belajar di sekolah Menengah (Inggeris) Telok Anson ditulis seperti berikut:

Suatu malam, lapan hari bulan Jun 195…. Pelajar di asrama kerajaan yang diuntukkan khas bagi anak-anak yang belajar di Sekolah Inggeris Kerajaan, Teluk Anson itu, sedang enak-enak makan…
(Bab Pertama, Bahagian 2: 92)

Bulan kabur di kaki langit Disember 196… semua orang lena. Lena
dengan impian masing-masing.
(Kesimpulan: 44)

Tanjong Malim 195… Curahan hujan sejak petang tadi masih juga
belum reda.
(Bab Kedua, Bahagian 5: 318)

Dan, hari itu ialah tanggal 31 Ogos hari ulang tahun kedua kemerdekaan Malaya.
(Bab Kedua, Bahagian 13: 472)

Teknik ini membawa petanda bahawa teks ini semacam sebuah autobiografi atau biografi yang difiktifkan, atau difiksikan semula oleh pengarang. Hal ini harus kita sedari lebih luas lagi apabila mengaitkan pula dengan nama Parti Wataniah dengan tokoh-tokoh pemimpinnya, yang seolah-olah hasil adaptasi atau transformasi sebuah parti utama di Malaysia yang memperjuangkan Islam. Namun kesahihan parti itu dikaburkan pula dengan ideologi atau tokoh-tokoh dalam Wataniah yang berfahaman sosialis. Ada nama tokoh dalam Wataniah, yang memang wujud dalam Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Jika hal ini benar, maka Jalan Pulang ada kemiripan teknik dengan Atheis. Begitu juga tokoh Dr. Aziz Azmi yang mendapat gelar doktor dalam bidang Pengajian Sejarah Islam di India yang memimpin Parti Al-Nur, adalah sosok tokoh Dr. Burhanuddin al-Helmy.

Terpulanglah kepada pembaca sama ada untuk meragui ataupun mempercayai pengalaman-pengalaman nonfiktif yang diungkapkan pengarang ke dalam novelnya ini. Pengalaman masa lalu Saufi, seolah-oleh pengalaman masa lalunya yang banyak bermonolog dengan pengalaman yang dilalui pengarang, terutamanya dengan guru-guru agama dalam mempelajari tarikat dan tasawuf. Kesukaan Saufi berpakian serba hitam (Bab Pertama: 92-93) dan Bab Ketiga, Bahagian 7: 551), memerikan pakian baju dan seluar putih Saufi tanpa tali leher dan sepatu silangnya dalam satu pertemuan politik, dapat dikiaskan sebagai bayangan sosok peribadi pengarang yang saya kenali sejak 1970-an, di mana Anas sendiri memang gemar memakai pakaian serba hitam ataupun putih sendondon.

Apa yang menariknya, Bab Kedua Jalan Pulang yang dibahagikan kepada 14 bahagian (mulai halaman 284-485) dihasilkan dengan gaya yang cukup santai. Kerana itu saya lebih terkesan dan cenderung meletakkan bab ini sebagai memiliki gaya karya popular. Bahagian ini menceritakan pengalaman awal Saufi memasuki Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim; pertemuannya dengan Leong Siew Yong (Ah Yong), gadis Tionghua yang kemudiannya menjadi kekasih dan isterinya yang benar-benar ingin memeluk Islam dan mahu menyelamat Saufi; pertemuan Leong dengan sahabatnya, Aziah, jururawat di Ipoh yang pernah bersekedudukan dengan Saufi, apabila misteri masing-masing terbongkar; konflik Saufi dalam memilih siapa calon isterinya; penentangan Leong terhadap ayahnya yang tidak adil dan menyebabkan ibunya bunuh diri; Saufi yang diadili pihak maktab, kerana menulis sajak yang menyalahkan Tuhan, dan kemudiannya lari meninggalkan maktab; pertemuan Leong dengan Saufi hingga berkahwin di Kuala Lumpur (mendaftar di mahkamah sivil).

Episod dan peristiwa-peristiwa ini dikisahkan dengan bahasa yang luwes, kadangkala lucu, diselangseli ungkapan atau dialog dalam bahasa Inggeris dan loghat tertentu. Gaya bervariasi begini memang mampu menghidupkan cerita, di samping menyekat keletihan membaca teks yang terlalu panjang. Anas juga begitu berminat dengan interior monolog. Boleh dikatakan setiap halaman apabila ada watak-watak yang berdialog, penceritaannya akan memanfaatkan interior monolog (dalam batin) setiap wataknya yang sedang atau saling bersapa itu.

Keunikan dan teknik naratif yang santai ini membolehkan Jalan Pulang memiliki gaya novel popular. Permasalahan yang dipaparkan pada seluruh bab ini juga adalah permasalahan dunia remaja yang sedang melalui tahap kematangan. Barangkali jika Jalan Pulang dijadikan bacaan wajib para siswa IPT dan maktab perguruan, disertai dengan upaya promosi pihak penerbitnya, Dewan Bahasa dan Pustaka dengan baik, nescaya ia akan menjadi bacaan terkenal dan terlaris suatu masa nanti.

Novel Atheis dan ideologinya dapat dilihat sebagai teks yang penuh dengan tanda, dan ia juga dipenuhi pula oleh kod-kod budaya yang terdapat di dalamnya. Pada konteks mutakhir, atau menjelangnya abad ke-21, keupayaan sesebuah teks naratif dilihat sebagai suatu teori teks yang utuh, malahan memainkan peranan penting dalam kajian budaya. Dalam hal ini, Chris Barker menjelaskan: ‘Narasi adalah penuturan tertara dan berurutan yang mendakwa diri sebagai rakaman suatu kejadian. Narasi adalah bentuk yang terangka digunakan suatu kisah untuk mengajukan penjelasan tentang bagaimana dunia berjalan. Narasi memberi kita kerangka pemahaman dan aturan referensi mengenai bagaimana tatanan sosial dibentuk dan dalam melakukan hal ini memberi kita jawaban atas pertanyaan: bagaimanakah kita seharusnya hidup?” (Chris Barker: 2005: 41).

Berdasarkan pernyatan tersebut sesungguhnya teks naratif ini memberikan kesedaran dan keinsafan kepada kita, betapa fenomena yang menyebabkan akidah manusia terancam dan tergugat itu antara lainnya disebabkan oleh gelombang imperialisme dan orientalisme yang menyerang negara-negara Islam. Achdiat melihat fenomena ini (pada awal abad ke-20) terjadi apabila Perang Dunia I dan Perang Dunia II membawa banyak perubahan. Barat yang pernah menjadi kuasa penjajah semacam kehilangan kuku, tetapi mempunyai alternatif lain untuk melebar dan mengekalkan pengaruhnya dengan cara meniupkan ideologi dan hegemoni modenisme, yang boleh mengelirukan kehidupan anak bangsa bekas tanah jajahan mereka.

Ideologi dan wacana baru ala Marxisme yang membuka ruang perdebatan antara materialisme dan spiritualisme, adalah antara hujah dan pemikiran yang turut memesongkan akidah anak pewaris Islam. Apakah pemikiran Marxis itu benar-benar boleh dikonkritkan ke tengah masyarakat? Apa yang jelasnya, pengaruh tersebut membawa dilema baru bagi para pengkritik yang ingin membongkar sastera dengan Marxisme, dan yang percaya bahawa sastera dan seni adalah aparatus ideologi serta bahagian dari suprastruktur. Achdiat barangkali besar kemungkinannya melalui Atheis, semacam mendapat jalan tengah atau jawaban antara empat persoalan penting yang pernah menjadi polemik kebudayaan para intelektual Indonesia sekitar 1930-an.

Selain bagaimana hendak menyederhanakan keperluan bangsa Indonesia kepada intelektualisme, individualisme, egoisme, dan materialisme agar tidak menjadi keterlaluan, tetapi jalan yang hanya dapat menerima kesemuanya itu adalah Islamisme. Dengan ideologi Islam yang serba sederhana itulah ia dapat berdialog dengan lebih terbuka, sama ada menerima atau menolaknya dengan cara yang lebih bijaksana. Achdiat yang terlibat dengan pengumpulan dan penerbitan buku Polemik Kebudayaan ini (Balai Pustaka) sejak 1948 lagi, tentulah berasa lebih terpanggil untuk menafsir dan menterjemah empat persoalan utama itu, bagi digandingkan bersama-sama proses pembangunan bangsa Indonesia.

Barangkali Anas K Hadimaja juga ingin meneruskan kelangsungan cita-cita tersebut, guna untuk diterima pakai oleh bangsa Melayu yang baharu merdeka. Pada peringkat awal perjuangan politik Ahmad Saufi, ketika memimpin Parti MURBA ialah memperjuangkan barisan bertindak parti-parti pembangkang. Ideologi yang diperjuangkannya ialah sosialisme-demokrat, yang sama sekali menentang fahaman Mao (komunisme). Dia juga mengecam parti pembangkang PKR sebagai golongan kontra pemerintah yang memburukkan nama baik dan imej sebuah parti pembangkang. Dengan menerima Islam sebagai paksi undang-undang di negara ini secara syumul, baharulah boleh menjamin kesejahteraan rakyatnya termasuk yang bukan Islam. Dalam hal ini, Anas kelihatan memilih Islam yang lebih dinamik, terutamanya dalam menegakkan undang-undang Islam bagi menyelamatkan umat Melayu di Malaysia yang mulai hanyut dengan pelbagai ideologi bersifat sekular dan liberal, mengakibatkan golongan pemerintah dan rakyat jelata juga sesat. Tanggungjawab ulamak juga dikritik dengan penuh berani oleh Anas. Kerana kebanyakan mereka ini gagal memainkan peranannya untuk memberikan dakwah, sama ada kepada orang Islam yang sesat (seperti Saufi, semasa menjadi guru sementara di Ipoh, yang berani mencabar al-Fadhil Haji Ahmad Fuad hingga berjaya menjadi pemimpin Parti MURBA berfahaman sosialis) mahupun kepada saudara baru, seperti yang disuarakan oleh Sanusi, teman Saufi dengan ulamak tersebut di masjid Kampung Paluh). Kelemahan institusi Islam di tanah air ini, dipandang oleh masyarakat umum sebagai satu kelemahan, yang tidak dapat menandingi kegigihan dan keberkesanan para mubaliqh Kristian menjalankan misi mereka, sebagai contoh yang paling mudah!

Perbezaan jelas antara Atheis dan Jalan Pulang adalah tentang citra wanita Indonesia dan citra wanita Malaysia yang lebih positif. Dua citra wanita yang diangkat dan diberikan makna positif oleh Anas itu sangat berpengaruh dengan kehidupan mutakhir Saufi adalah Ah Lan an Ana Salwa. Ah Lan yang dikahwinnya secara bukan Islam itu mempunyai hasrat dan keazaman yang tinggi untuk mengislamkan semula suami Melayunya! Tetapi dengan kehendak takdir, dia tidak dapat melihat terlaksananya cita-cita tersebut, kerana dijemput Tuhan lebih awal. Dia mati beranak bersama anaknya yang juga tidak dapat diselamatkan oleh doktor Benggali wanita, isteri sahabat separti dengan Saufi.

Bagaimana hebatnya lelaki, baik sebagai pemimpin atau ketua keluarga, tetapi dia juga tidak sunyi dengan kesilapan dan kelemahan. Ah Lan yang terbuang dari keluarganya yang kaya – anak Datuk Leong itu (lari bersama Saufi ke Kuala Lumpur) walaupun akhirnya lebih banyak menderita, akibat perbuatan dan tidak bertanggungjawab Saufi sebagai suami, dan cuba pula bermain cinta dengan perempuan lain setelah kedudukannya sebagai aktivis politik dan juga penulis semakin tersohor.
Secara diam-diam, Ah Lan telah memeluk Islam tanpa pengetahuan Saufi. Selepas kematian isterinya baharulah Saufi sedar akan tindakan isterinya selama ini adalah untuk kebaikannya juga. Mayatnya dikembumikan secara Islam oleh Dr Aziz dan kawan-kawannya.

Selepas kematian Ah Lan, Saufi mulai insaf dan membaca kembali segala kesilapannya selama ini. Ah Lan atau Yong, cuba menyelamatkan Saufi daripada terus terjerumus dengan ideologi komunis dan murtad. Misalnya, pada suatu hari, Saufi membuat keputusan untuk pergi berkursus ke London atas sponsor pertubuhannya, dan meninggalkan isterinya yang sarat mengandung itu. Pengkaji juga cuba menyelongkar, di mana adanya unsur ideologi yang cuba disampaikan pengarang? Yang penting dalam ideologi dan dalam wacana tentulah memiliki nilai tertentu. Barangkali nilai halus ini terkambus dalam di bawah dunia sedar sang suami, bahawa isterinyalah yang memiliki nilai-nilai tersebut, apabila diteliti dialog Ah Lan (Leong/Yong) seperti berikut ini:

“Mengabdikan politik untuk manusia, untuk rakyat konon, huh! Jangan hendak bohonglah. Yong tahu semuanya. Berapa banyak parti politik di negara kita sekarang? Berapa banyak yang cuba berusaha mengadakan daftar membanci orang-orang yang menganggur dan berikhtiar untuk mencarikan mereka kerja, berapa buah parti yang melakukan seperti itu? Parti Sosialis abang konon yang berusaha membela kaum buruh, sudah berapa banyak buruh yang jadi senang dengan bantuan parti abang? Pembohong semuanya, cakap saja bijak, Yong tidak membenarkan laki Yong jadi pembohong, penipu dan pembelit. Abang harus berhenti daripada politik atau kita berpisah saja.”

“Berpisah saja?” ulang Saufi di dalam hati. Muka Leong dipandangnya bening-bening lalu menggeleng perlahan, sedang nafasnya mendadak sesak. “Oh, tidak… aku tidak akan…”

“Yong jangan cakap yang bukan-bukan!”

“ I don’t care!” bentak Leong. Mentereng menentang Saufi.
“Pilih politik atau Yong? Kalau hendak ke London semata-mata kerana belajar saja, okey. Akan tetapi, di belakang bantuan itu ada tali yang mengikut (ikat?-P) abang, apabila balik nanti abang akan diperalatkan, bagaimana kalau abang tertangkap? Apakah abang lupa, ideologi sosialis itu umumnya dianggap orang ideologi komunis. Sedangkan rakyat semuanya tidak suka akan komunis? Mengapa harus abang menempah bahaya?”

”Siapa bilang Parti Kemajuan Rakyat atau MURBA yang aku pimpin itu komunis? Siapa bilang? Cakap!” bentak Saufi.

“Yong bilang, orang lain juga bilang,” sahut Leong bersinga. Muka Saufi merah padam menahan marah. Nafas kasarnya terlepas satu-satu. Dia menggenggam tinju sambil menumbuk-numbuk tapak tangan dengan gigi berkerit.

“Apa yang kau tahu tentang politik? Apa yang kau tahu tentang sosialis, demokrasi dan komunis? Apa? Cakap saja pandai! Orang macam kau ni memang banyak, buat menyusahkan saja, buat membunuh cita-cita aku saja. Apa kau lupa, parti MURBA yang baru aku tubuhkan itu adalah satu-satunya parti sosialis Melayu yang tulen!...”

(hlm. 486-497)

Pembaca yang teliti dapat melihat citra manusia yang berbeza antara Yong dan suaminya, Saufi yang keras hati itu. Tetapi kita juga dapat menilai kebijaksanaan masing-masing, kerana mereka bertolak dari status dan tanggungjawab yang berbeza. Begitu juga dengan watak Ana Salwa yang mendapat pendidikan di Indonesia (barangkali U.I?) yang dikahwini Saufi (secara Islam) sewaktu Saufi ditangkap polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Waktu itu Ana Salwa juga berbadan dua, yang barusan mendapat kebahagiaan sebagai isterinya, dan dilayan dengan cinta oleh suami, tetapi malam itulah dia terpaksa berpisah. Saufi ditangkap oleh ASP Jalal Saidi. Pada bahagian ini, pembaca diberikan wacana dan ideologi oleh Anas – di mana nilai perjuangan (sosial) bertembung dengan nilai peribadi. Memang ironi yang selalu menguasai latar waktu dan tempat, apabila pemerian seperti berikut berjaya digambarkan oleh pengarangnya dengan teknik naratif yang mengesankan naluri pembaca.

Dikeras-keraskan Saufi hatinya. Akan tetapi, hati jantannya juga hancur ketika tersentuhkan perut Ana. Setitik air terbit di sudut matanya. Namun, cepat-cepat disapunya dengan lengan pijama. ‘Kenalah aku kali ini. Kena. Siapa punya fitnah ini?’ fikirnya dengan geram. ‘Ya Allah. Ya Rabbi. Ya Rahman!’ tiba-tiba dilepaskannya Ana. Dengan gementar menaham geram itu dia bersuara.

“Ini salah satu rukun perjuangan, Ana. Bertakwa, bersabarlah.” Direnungnya muka ASP Jalal dengan tajam.
“Saya tukar pakaian dulu,” katanya.
“Di balai sajalah.”
Beransur-ansur muka Saufi menjadi merah. Tapak tangannya berpeluh sejuk. Dia menggigil menahan marah, sedang sinar matanya bagaikan lejangan serampang meremangkan bulu tengkuk ASP Jalal dan pegawai-pegawainya.
“Apa ini? Aku mahu sembahyang sunat pun tak boleh?”
“Bukan tidak boleh tuan. Di balai sajalah nanti.”
“Subhanallah! Apa ini? Kafir? Terkutuk? Nauzubillah? Ayo…!” bentaknya, lalu berdiri dengan gagah. Salah seorang pegawai ASP Jalal memegang tangannya. Lalu ditepiskan Saufi dengan marah, sambil berpaling bercekak pinggang menentang muka ASP Jalal yang terpaku di lantai.

“Eaii!” tempik Saufi. “Kalau sampai ketikanya insya-Allah, pistol kamu tidak meletup. Haa! Sekarang tidak usah mengada-ngada mahu menggari tangan aku. Jalan sekarang, aku tidak akan lari. Jalan! Ayuh jalan…!” sergahnya lagi lalu berjalan gagah diiringkan pegawai-pegawai itu.

“Abanggg!” jerit Salwa lalu menangkap tangan suaminya. Saufi tidak menoleh ke arah Ana. Dia berjalan terus sambil mulutnya melafazkan sesuatu wirid terus menerus. Ana belum putus asa lagi. Diikutkan Saufi hingga di Landrover yang sedia menunggu di perkarangan rumah itu, ketika Saufi terhenti sambil bersuara perlahan memujuk perasaan.

“Demi Allah, bersabarlah engkau Ana. Jangan menangis. Kuatkan semangat kamu. Janji Ana, peganglah janji itu, Allah Maha Kuasa, kamu tahu tidak ada apa-apa salah aku. Kita tidak berniat mahu meruntuhkan kerajaan dengan cara perang. Jadi, apa yang hendak kamu tangiskan? Berdirilah kamu mempertahankan kebenaran agama Allah ini, Ana. Berdirilah. Doakan, banyak-banyak sembahyang istikarah supaya ujian ini kita hadapi setenang-tenangnya,” Salwa terpempan dengan kata-kata itu…
(hlm. 51-53).

Dengan petikan di atas Saufi telah melalui jalan pulang. Bahkan Anas juga berjaya meramalkan tentang kuasa besar di Asia Tenggara akan bangkit – satu rupa bangsa Melayu Raya yang digambarkan seperti berikut:

“Percayalah kataku saudara-saudara bahawa pada satu waktu kelak, jika tidak 10 maka 15 atau 100 tahun di hadapan, bangsa Asia Tenggara akan tegak semula sebagai salah satu kuasa besar di Asia. Maka pergolakan politik Asia Tenggara hari ini ialah tanda-tanda baik yang menyatakan kecerahan kawasan kita pada masa akan datang. Bangsa Asia Tenggara akan kuat, bangsa Mel;ayu Raya akan kukuh dan berdiri di bumi merdeka mereka sendiri… dan, untuk mengejar matlamat ini, kita dan kami daripada MURBA tetap bertekad bahawa pembasmian politikus-politikus korupsi adalah wajib. Tokoh-tokoh siasah dan ekonomi oportunis wajib dibanteras. Jika mereka tidak dapat kita banteras, maka waktu itu akan membanteras mereka….”
(hlm. 560-561)

Tokoh sebenar yang mengembalikan Saufi ke jalan Islam itu tidak lain daripada Dr Abdul Aziz Azmi, yang menerima pendidikan dari India, tokoh politik dan teman rapat dengan Saufi dan keluarganya. Tetapi tindakan secara diam dan perwatakan Dr Aziz ini tidak diperjelaskan oleh pengarang, kerana ada faktor tertentu. Bagi pengkaji, ia ada kaitannya dengan hakikat nonfiksi yang disinggung awal tadi. Seperkara lagi pengarang juga berkemungkinan tidak mahu mengambil jalan yang panjang. Pengarang juga tentunya tidak mahu menyesatkan manusia Melayu apabila telah menjadi Islam, selamanya ia tetap Islam, walaupun realiti masa kini sudah jauh. Bahkan terlalu banyak orang Melayu Islam hari ini yang ingin murtad, dan sedang berbaris menuggu keputusan undang-undang memihak dengan ideologi pilihan mereka itu?

Apabila melihat teks, fenomena dan ideologi, kita tidak harus lupa bahawa, pemikiran dan ideologi pascamodenisme telah menolak pemilahan gaya fikiran Matthew Arnold, yang menyebut kebudayaan elit sebagai culture dan kebudayaan massa sebagai anarchy. Ini suatu polemik lain barangkali, tetapi jika diamati ia ada kesinambungannya dengan apa yang terakam di dalam teks Atheis yang tercipta 60 tahun lalu. Walaupun ada yang mempertahankan bahawa karya sastera bukanlah jurubicara rasmi dari ideologi, doktrin, norma atau nilai-nilai, tetapi pada dasarnya jelaslah yang sasterawan tidak ingin khalayaknya menjadi anarkis, nihilis atau menjadi antistruktur. Apa yang kita yakini bahawa proses kreatif adalah sebuah kesedaran terhadap pelbagai macam masalah kehidupan manusia secara langsung dan sekaligus.

Achdiat sebagai pengarang besar dengan wawasannya tatkala itu, mampu menghadiahkan pesan, dengan unsur estetiknya yang membalut mesej karya tersebut, sehingga apa yang tersurat seringkali beroposisi dengan apa yang tersirat. Dan yang pastinya, Achdiat wujud sebagai sasterawan yang secara sosiologis, karyanya lahir akibat refleksi masyarakat yang dipengaruhi situasi sejarah, seperti yang ditegaskan oleh Terry Eagleton (1983: 5). Menyedari akan wujudnya hubungan antara koherensi dengan tanda-tanda, maka kita dapat melihat watak-watak seperti Hasan, Anwar, Rusli dan Kartini juga tidak putus-putus untuk membina identiti masing-masing.

Sementara Anas K. Hadimaja pula melalui watak-watak Saufi, Ana Salwa, Dr. Aziz Azmi, Taha Amir, Sanusi, Haji Ahmad Fuad, Nur Aziah Aziz, Haji Sulaiman (ayah Saufi), dan Leong Siew Yong adalah manusia yang terperangkap dengan cita-cita dan perjuangan masing-masing. Mereka secara individu cuba menginstitusikan diri mereka kepada kelompok sosial, yang dikira elit dalam masyarakat sezamannya. Satu hal yang cukup berbekas dan menginsafkan kita, betapa usaha merealisasikan undang-undang Islam di negara yang para pemimpinnya orang Islam sendiri, menjadi isu yang tetap mutakhir sepanjang zaman. Ini kerana untuk melaksanakan hukum atau undang-undang Tuhan di muka bumi ini, memang banyak pihak yang menentangnya. Tetapi penentangan yang paling ironis adalah dari kalangan orang Islam sendiri!

Demikianlah serba sedikit kesan yang amat berbekas dalam kehidupan saya sebagai pembaca sastera (novel). Achdiat K Mihradja, pengarang novel Atheis, dan Anas K Hadimaja pengarang novel Jalan Pulang ini cukup menginsafi kita. Dengan akal budi dan hatinya kedua-dua insan ini telah berenang di alam syahadah, berjaya menyelam ke alam makna dan pengertian, alam batin dan mujarad. Kemudiannya dengan penuh tanggungjawab, dia meluahkan hasil renungan dan hasil kembaranya dalam wacana kreatif, sebuah novel atau roman yang mengajar kita secara seni. Dia merakam setepat mungkin gejala dan fenomena umat atau bangsanya untuk dinikmati bersama oleh orang lain. Inilah sosok tokoh seniman dan sasterawan berstatus ulul-albab yang dinyatakan Allah di dalam al-Quran: “Sesungguhnya di dalam kejadian langit dan bumi serta peredaran malam dan siang, menjadi tanda-tanda dan petunjuk kepada ulul-albab. Mereka adalah orang yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring, dan mereka berfikir mengenai ciptaan langit dan bumi, lalu mereka berkata, ‘Tuhan kami, Engkau tidak mencipta semua ini secara palsu (tanpa hikmah, tanpa makna dan pengertian) Maha Suci Engkau ya Allah! Maka lindungilah kami dari siksa neraka-Mu”.

Mengikut Arthur Berger, (2005: 91-92) seseorang memutuskan untuk menjadi orang yang terkenal dalam bidang tertentu, kemudiannya dia membangun suatu identiti sebagai orang yang berjaya dalam bidang tersebut dengan memanipulasi tanda-tanda agar orang lain boleh menafsirkannya secara benar. Inilah usaha-usaha penonjolan diri yang dilakukan oleh watak-watak utamanya, mengikut pengalaman dan proses sosial masing-masing. Sebagai pengarang yang bertanggungjawab terhadap moral dan bangsanya, Achdiat K Mihardja (menulis Atheis ketika usianya 37-38 tahun) dan Anas K Hadimaja (menulis Jalan Pulang dalam usianya 22- 23 tahun) itu telah mengabadikan karya yang besar makna kepada tamadun bangsanya, agar menjadi ummah yang terselamat hidupnya baik di dunia mahupun di akhirat.

SUMBER RUJUKAN
Achdiat K. Mihardja, 1966. Atheis. Melaka: Penerbitan Toko Buku Abbas Bandong
Anas K. Hadimaja, 2007. Jalan Pulang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Barker, Chris, 2005. Cultural Studies: Teori dan Praktik. Yogjakarta: PT Bentang Pustaka
Berger, Arthur Asa, 2005. Tanda-tanda dalam Kebudayaan Kontemporer: Suatu Pengantar Semiotika. Yogjakarta: Tiara Wacana
Eagleton, Terry, 1983. Literary Theory. Oxford: Basil Blackwell.
Sternberg, Robert J, dan Todd I Lubart, 1999. ‘The Concept of Creativity: Prospects and Paradigm”, dalam Handbooks of Creativity. Cambridge: Cambridge University Press.
Taufiq Ismail, 2008. ‘Dari Optimisme, Hitam dan Putih Sampai Masalah Angkatan’ dalam Mengakar ke Bumi Menggapai ke Langit 2: Himpunan Tulisan 1960-2008. Jakarta: Panitia 55 Tahun Taufiq Ismail dalam Sastra Indonesia dan Majalah Sastra Horison: 418-421. Esei asal tersiar dalam akhbar Kompas, 23 Mac 1968.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home